PENERBANGAN kedua setelah transit di Lapangan Terbang Qatar, mengocakkan perasaanku untuk menjejakkan kaki ke Ibu Dunia, Mesir.Selama dua jam perjalanan, suria sudah terapung tinggi dan kapal terbang semakin condong untuk mendarat di Lapangan Terbang Kaherah.
‘Alhamdulillah sudah sampai.’

Aku dan beberapa sahabat yang lain mengusung beg setelah sekian lama beratur panjang untuk mendapatkan cop visa. Suasana di dalamnya hinggar binggar. Keluar daripada lapangan, kami disambut mesra oleh unit sambutan Persatuan Islam di Mesir.

“Di Mesir, jangan tinggal kelas talaqqi,” nasihat seorang ustaz.

Kami ditempatkan di rumah negeri dan ustaz-ustaz daripada unit pendidikan ilmiah menyusun keperluan kami sebelum peperiksaan di Markaz Bahasa Arab Syeikh Zaid.

Aku sebenarnya seorang yang masih mentah dalam dunia ilmu. Aku kepingin untuk menjadi sehebat Imam Syafi’e, Imam Al-Ghazali, dan ulama yang lain. Namun aku jua sangat pemalas dan jarang menghadiri kelas talaqi. Aku langsung tidak tahu kepentingan dan banyak ketinggalan.

Melihat sahabat-sahabat yang lain pergi ke kelas talaqi, terkadang aku terfikir mereka ini benar-benar jumud dan mengasingkan diri daripada masyarakat. Memakai pakaian jubah dan serban dan di bahu terdapat rida’ semacam berpura thiqah dan alim-alim kucing, adakah itu Islam yang sempurna.

Sehingga sesekali aku ditegur oleh rakanku, “cara berwuduk bukan seperti itu.”

Dia berkata untuk mendapatkan Islam yang sempurna, kita perlulah mengetahui kaifiyat-kaifiyat sesuatu ibadah dan ketika itu aku terasa alangkah jahilnya aku.

“Mari kita pergi ke kelas talaqqi malam ini di Ruwaq Jawi,” ajaknya.

Malam itu aku cuba memakai pakaian jubah dan kopiah yang tertera logo capal Rasulullah. Kehadiran pelajar Mesir ke kelas Talaqqi begitu melimpah ruah sekali sehingga kami terpaksa duduk kesejukan di atas bumbung dan mendengar penurunan ilmu melalui Syeikh Rifa’at. Slaid dipasang. Kitab Bidayatul hidayah dikupasi.

Aku tidak faham kerana tidak pernah menghadiri kelas talaqqi di Mesir. Tetapi aku mengintai catatan sahabatku perihal isi kandungan dan penjelasan yang diulas oleh Syeikh Rifa’at.

Kaifiyyat berwuduk ketika menyapu muka sehingga ke bawah janggut, hendaklah diselingkan doa, ” Ya Allah, pancarkanlah cahaya-Mu, untuk wali-wali-Mu. Dan jangan Engkau tinggalkanku.”

Banyak lagi adab-adab yang dipelajari bermula daripada aspek ibadah, pergaulan dan pedoman hidup.

Semenjak hari itu mataku terbuka seluasnya dan aku mengalami perubahan metamorforsis. Selama tujuh bulan, aku sudah mahir dalam kitab matan al-Jurumiyah, Tanwirul Qulub, dan Matan Abi Syuja’ dan banyak lagi.

Namun aku dihina dan dicemuh oleh segolongan kawan-kawanku yang terpengaruh dengan pemikiran janggal dari guru-guru mereka. Kata mereka kami seolah-oleh golongan tradisionis yang bersifat keras dalam agama.

Kami juga dikatakan tidak sempurna yang dipandang hina oleh masyarakat apabila berqasidah dan berzikir. Ada diantara mereka yang menyamakan kami dengan ahli bid’ah, syirik dan ahli tasyaiyu’ iaitu pemikiran syiah yang taksub.

Namun cerita kami tidak pernah tamat. Ketika kuliah bermula, kami semakin gencar dan maju kehadapan. Ada di antara kami yang ketinggalan dan gugur untuk melepasi tahun satu tetapi masih tahu menjaga akhlak dan adab di depan guru. Mereka tidak pernah berputus asa dan bergerak seiringan.

Empat tahun lamanya, aku menginjak di bumi Mesir. Sebelum pulang ke tanah air, aku menyusun buku-buku untuk pulang. Buku Bidayatul hidayah atau perjalanan menuju hidayah jatuh dari meja.

Aku mengutip dan teringat kembali kali pertama aku menghadiri kelas talaqqi. Alangkah beruntungnya apabila aku berjaya mengikuti kelas-kelas talaqi yang disusun secara rapi. Andailah aku mendengar kata-kata nafsu dan kawan-kawanku yang tidak suka pada institusi talaqqi, pasti tiada gunanya aku melangkah ke sini.

“Ya Allah, kekalkan ilmuku di dada agar dapatku semaikan kepada masyarakat nanti. Dan yang paling penting mendapat redha-Mu.”

BidayatulHidayahNEW

 

Advertisements