Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani mengatakan:

“Jauhilah sifat syirik, baik syirik lahiriah ataupun batiniah. Sifat syirik lahiriah seperti menyembah patung atau berhala, sementara syirik batiniah seperti bersandar kepada makhluk dan hanya memerhatikan kepadanya, baik dalam kemudharatan ataupun dalam manfaat.”

Sayup-sayup sahaja kedengaran suara tangisan di Pusat Rawatan Islam Al-Ridzuan. Pusat rawatan itu masih penuh dengan tetamu yang ingin mendapatkan khidmat rawatan Islam.

“Kenapa isteri kamu berbau lembu?”soal Ustaz Zikri. Pengasas Pusat Rawatan Islam di Perak itu berasa hairan dengan kedatangan sepasang pelawat berbangsa India yang kepingin berawat di sini.

” Itulah Ustaz. Kami baru sahaja berubat dengan tabib di sebuah kuil. Dia gunakan kaedah sebatan dengan tali ikat hidung lembu, tapi penyakit isteri saya tidak jua pulih-pulih. Tolonglah isteri saya ustaz,” luah Encik Phalavan.

Encik Phalavan mengeluh akan nasib yang menimpa isterinya yang sukar tidur pada waktu malam. Pelbagai pakar perubatan dicari Encik Phalavan tetapi semuanya hambar.

Ketika itu Mariyya, dengan bertudung polos krim dan berbaju kurung menyibak-nyibak helaian kertas tentang maklumat pesakit.

“Mariyya, ada pengunjung wanita dari jauh ingin berawat. Kamu uruskan ya.”

“Baik Ustaz Zikri.” Mariyya menyapa isteri Encik Phalavan dengan ramah mesra.

Mariyya, gadis yang cekal dan masih muda lela itu. Siapakah dia yang sebenarnya.

SEMESTER enam yang mengembang dahulu kini sudah menguncup. Masih segar membugar dalam mindaku, kenangan membuat kajian tentang topik Hinduisme. Berdialog dengan sami di kuil adalah tugas kami semua selaku pelajar Akidah dan Perbandingan Agama.

“Mariyya Qibtiyaa……” sebuah bisikan nyaring menusuk telingaku dari sudut kejauhan. Kelihatan kelibat lembaga hitam dengan rambut gondrong berkerusut, mata merah mencalak, bertenggek di atas tembok memerhatikanku.

Aku mendakap lengan Durrar. Kepalaku berpusing.

“Mengapa Mariyya.”

“Tu…Tu.. Kau tak nampakkah di atas tembok kuil,” aku tergigil-gigil.

Durrar mendongak dan mengelayau mencari sesuatu di atas,” mana? tak ada apa-apa pun.”

Marriya memandang ke atas kembali. Kelibat itu hilang seperti dalam cerita filem sensasi.

Hujan turun menikami bumi Perak. Setelah berdialog bersama golongan sami, rombongan dari Akademi Al-Ghazali pun pulang ke universiti.

“Betul. Aku nampak ada hantu tadi.Siap sebut nama panjang aku lagi,” Mariyya memaksa Durrar untuk mempercayainya.

“Mariyya. Mungkin itu bayangan kau aje. Atau kau tak baca ayat kursi dengan yakin sebelum masuk kuil tadi. Aaa nanti di rumah jangan lupa baca ayat ruqyah atau manzil.”

Marriya Angguk. Pipinya digembol.

“Ilmu tasawwuf adalah satu-satunya ilmu tentang sanubari. Dengan sanubari yang bersih, khusyuk, tawaduk, ikhlas jauh daripada sifat kesyirikan, pasti ibadah kita menjadi lebih berkualiti dan dapat menghapuskan anasir-anasir jahat daripada jin dan iblis,” ceramah Ustaz Zikri.

Sebelum mengakhiri kelas pengubatan Islam, Ustaz Zikri mengingatkan kepada hadirin termasuk Mariyya tentang firman Allah SWT yang bermaksud: “Barangsiapa yang ingin bertemu dengan Tuhannya hendaklah melakukan amalan soleh dan tidak mensyirikkan Tuhannya ketika beribadat dengan sesuatu pun.” (al-Kahf: 110)

Mariyya menaiki tangga fakulti dalam keadaan lesu dan tak bermaya. Daripada siang tadi, badannya lenguh-lenguh dan begitu panas.

Tiba-tiba telefonya berdering dan lekas diangkatnya.

“Mariyya, ibu kamu disantau jin,” kata Pak Danial, ayah kepada Mariyya.

“Nauzubillah. Ibu..,” buku-buku ditangan Mariyya terjatuh dan terlangkup begitu sahaja. Tubir matanya dirintiki hujan air mata. Mariyya mengetap bibir dan tersungkur di bahu tangga dalam limpahan khuatir dan kesedihan yang berkocak galau.

AKU pulang ke kampung halaman atas keizinan pihak universiti. Kajianku tentang Tasawwuf tergendala buat seketika. Kampungku terletak di daerah pedalaman yang tersisih dari dunia metropolis.

Aku sampai ke kampung halaman ketika larut malam mengundang. Terkejut dengan bunyi suara perempuan ketawa terkekel-terkekel ketika memasuki gerbang kampungku yang suram.

Di dapur tradisional, pawang yang terkenal di kampung itu memasukkan daun sirih dan bahan-bahan upacara ke dalam gobek seraya dibakar lalu mengeluarkan kepulan asap-asap yang mengelabu.

“Ayah. Di mana ibu dan siapa pula lelaki di dapur,” sosekku kepada ayahku yang masih belum mencapai usia tua gerontolis.

“Ibu berada di bilik dan itulah pawang Ngah yang akan merawat ibu kamu. Dia orang lama di kampung kita.”

“Apa? Pawang?” Aku terhenyak dalam keremukan,”Ayah mereka ini orang musyrik. Mengapa ayah…”

“Shhhh. Habis tu kamu ingin lihat ibu kamu terpekik melolong setiap malam.”

“Tak nak, ayah tetapi pasti ada cara yang lain yang lebih islamik. Ruqiyyah,Yaasin, Manzil.”

Sekonyong-konyongnya lampu rumah tiba-tiba terpadam. Kedengaran bunyi kaca pecah dan jendela terbuka terkatup mendebarkan perasaanku. Bunyi pintu terkuak. Kemudian lampu terpasang semula dan wajah ibu kelihatan di depan wajahku.

“TOLONG LEPASKAN AKU.. !!!” Ibu menjerit dengan kuat. Dalam keadaan itu mulutku terkumat-kamit membaca ayat suci Al-Quran dan ayat Ruqyah.

Ibu semakin meracau dalam bahasa tamil. Botol cuka yang dicampur air hirisan limau, garam dan bacaan zikir pemberian Ustaz Zikri yang terperosok dalam kantung beg, aku keluarkan.

“Pergi kau dari badan ibu atau aku simbah kau dengan cuka ini,” jeritku.

Ibu menjadi tidak keruan dan pensan. Wajah pucat kebiru-biruan ibu bertukar seperti biasa.”

Pawang Ngah yang sedang berdiri di situ terpana dengan Mariyya. Serasa ada saingan baru yang akan menghancurkan bisnes syirik yang diasaskannya sejak turun-temurun.

“Hoi pawang!! Kami tak perlukan khidmat upacara awak. Sesungguhnya pawang, dukun, bomoh, dan sekufu dengannya, adalah ahli yang mensyirikkan Allah dan tiada dosa yang paling terbesar melainkan syirik.” Mariyya melemparkan kebenaran.

Pawang Ngah berasa begitu terpukul lantas mayang di tangannya dilepaskan. Pawang yang sudah tua kerepot itu keluar dalam keadaan tidak puas hati. ‘Ciss’

“Ibu..” Aku mendakap erat tubuh Ibu yang terperosok di lantai kayu.

“Mariyya…” esak Ibuku.

Dalam pada itu, ayah segera mengendong tubuh Ibu yang tidak bermaya ke bilik.

PONDOK Pawang Ngah kelihatan begitu usang. Daun-daun bakau melambai-lampai terjulur seperti tangan raksaksa. Di sinilah berkumpulnya golongan-golongan Musyrik yang tidak berfikir panjang akan kesan dan akibat buruk berkhidmat dengan bomoh.

Yang merenggut jiwa kerana dengki dan dendamnya, bernafsu serakah, yang ingin melariskan produk perniagaan masing-masing, tangkal azimat, kebal, ingin mendapat penyokong dan pengundi dan banyak lagi ilmu-ilmu sihir yang dipercayai padahal ianya melibatkan perjanjian antara jin dan syaitan. Akhirnya makhluk halus inilah yang akan merosakkan kebahagiaan dan keharmoniaan rumah tangga, masyarakat, dan negara dan lebih teruk merosakkan diri sendiri.

“Kita perlu mencari jalan bagaimana ingin menghapuskan Mariyya.” Pawang Ngah bersama anak muridnya mencari idea.

Kejadian di rumah Mariyya menjadi bahan bicara di seluruh kampung. Ramai yang lebih mempercayai kaedah pengubatan Islam yang diasaskan Mariyya di kampung.

“Ustazah Mariyya. Mengapa anak mak cik berperangai pelik dan semakin hari dia gemar melawan kata-kata mak cik,” adu Mak Cik Zabita.

“Mak cik ada simpan tangkal, keris atau pendinding berupa paku di rumah?”

“Ya. Secara peribadinya, arwah suami mak cik ada membela penunggu untuk menjaga kebun.”

“Kalau begitu hapuskan tangkal peninggalan dan tuang sejumlah cuka yang dibacakan wirid ruqyah di kawasan kebun mak cik,” nasihat Mariyya.

Begitulah rutin seharian yang dialami oleh Mariyya. Masyarakat yang percaya kepada pengubatan tradisional bomoh dahulu kini lebih yakin akan rawatan tradisional Islam.

MALAM ketika bulan mengambang, Pawang Ngah mulai memasang mantra dan azimat untuk menyantau Mariyya.

Suasana senyap sunyi. Mariyya duduk di tikar sejadah. Tasbih ditangannya tidak lekang diputarkan. Dia dapat merasa ada sesuatu yang tidak senang menyerbu hatinya.

Kreeekk Kreeekkk, bunyi anomotopia di atap kedengaran seperti ada sesuatu yang merangkak.

Mariyya bangun perlahan seraya peluh berkucuran membasahi pipi. Namun dia percaya perasaan takut selain daripada Allah adalah perbuatan syirik tersembunyi. Lalu dia menggapai kayu nona yang sealu digunakan oleh orang cina untuk menghalau jin.

Selang beberapa minit, di suku meter, tersembul wajah wanita menyerupai ibunya dalam keadaan yang gerun. Kepala disengetkan dan wanita itu menjerit.

“Kaulah orang yang paling aku benci di kampung ini. Yang telah merosakkan kepercayaan aku. Aku akan hancurkan kau!”

Mariyya berundur setapak. Ayat lau anzalna dibaca kuat. Memang ada ketakutan yang berlesang dan menggulung tetapi dia bertawakkal kepada Allah.

Pada masa yang sama juga, Ustaz Zikri juga sedang berzikir di pusat rawatan Islamnya. Tersingkap hakikat yang beliau adalah abang kandung kepada Pawang Ngah dan cuba sedaya upaya mentarbiahi adiknya yang mempelajari ilmu sihir.

Akhirnya Mariyya memberanikan diri membaca ayat ruqyah, berzikir dan bertahlil seperti yang diajar Ustaz Zikri. Jin tersebut hilang dalam penglihatannya akan tetapi gangguan itu masih belum hilang sepenuhnya.

Keesokan harinya, Mariyya membawa keluarganya berjumpa pakar perubatan Islam untuk merawat masalah yang menimpa. Dengan izin Allah, segalanya kembali seperti biasa.

DUA tahun sudah berlalu, aku kini menjadi seorang pengamal pengubatan Islam di Pusat Rawatan Islam Ar-Ridzuan. Pawang Ngah dilandai strok dan lumpuh seluruh badan telah pun kembali ke pangkuan Ilahi. Pawang Ngah juga sempat bertaubat kepada Allah selepas meminta khidmat nasihat daripada abangnya sendiri Ustaz Zikri.

Masyarakat kampungku yang dibungkusi amalan syirik dan khurafat dahulu semuanya bertaubat dan mempercayai teknik rawatan Islam dengan kaedah rotan menggunakan kayu nona, cuka, limau nipis dan bacaan ruqyah bagi mengeluarkan makhluk-makhluk halus di dalam badan.

“Bagaimana dengan isteri Encik Phalavan?”
soal Ustaz Zikri.

“Alhamdulillah, dengan izin Allah yang memberikan manfaat, ¬†isteri Encik Phalavan pasti akan sembuh dengan syarat beliau menemui mana-mana pengamal pengubatan termasuk bomoh selain peramal pengubatan Islam yang dipercayai.”

13051636_1685783051688319_1043608723321594586_n

Advertisements