“ALAM ini pada lahirnya merupakan pendustaan, dan batiniahnya adalah pelajaran. Nafsu memandang pada pendustaan lahiriahnya, sementara qalbu memandang kepada pelajaran yang tersimpan di dalamnya.” —Syeikh Ibnu Atha’illah Al-Sakandari.

PINTU pagar Pusat Rawatan Islam Ar-Ridzuan dirapat dan dikatup. Aku menyalami dan mengucup tangan Ustaz Zikri, guru yang mengajarku ilmu perubatan Islam. Wajah guruku itu tampak mendung, menuntut belaian kasihan dan dengan pasangan mata nan berkaca-kaca, beliau menyimpul senyuman.

“Sebelum pulang, izinkan saya bertanya boleh ustaz?”

Angguk. “Apa dia Hasan Handawiy.”

“Agak-agaknya ustaz, mengapa kewujudan golongan LGBT di Malaysia semakin hari semakin meresahkan? Apakah nilai positif yang dapat mereka sumbangkan terhadap pembangunan sosial negara? Sepatutnya mereka perlu diambil tindakan tegas oleh jabatan agama berdasarkan polisi yang ada.” Wajahku diserbu keseriusan.

Menurut kajian Pink Triangle Foundation, dianggarkan terdapat seramai 10,000 Mak Nyah di Malaysia di mana 50.7 peratus adalah Melayu, 27.5 peratus Cina, 7.8 peratus India dan 14 peratus daripada etnik minoriti yang lain.

“Sebenarnya Handawiy, golongan ini bukan golongan yang perlu disisihkan dan terus dihukum melulu secara kaul atau menyeluruh, tetapi mereka perlu dilindungi dan dirawat,” dengan tenang Ustaz Zikri membalas.

“Dirawat? Maksud Ustaz?” Handawiy mengumbar persoalan.

“Esok petang kamu datang ke seminar Kesedaran LGBT di dewan Universiti Islam Malaysia, ustaz akan terangkan lebih lanjut darihal penyakit akhlak LGBT.”

“Baik Ustaz.”

AWAN gebu yang bergodel-godel bagai berjoget-joget di atas langit. Bunyi gerusan ekzos motosikalku melaruti suasana tepian Tasik Pelangi. Di sinilah aku bekerja sambilan sebagai pembawa perahu klasik Melayu yang dihiasi dengan lampu neon dan lilitan kain berenda yang berwarna-warni (demi mencari uang saku dan menampung kos pembelajaran.)

Rakan setugasku Nisha – lelaki berdarah baba nyonya, kulit bagai telur dikupas, bermata sepet, berkening pantis, hidung berpermukaan bulat, bibir berulas basah digoles gincu merah dan ada seinci pingut di dagunya yang runcing- sedang menghias khemah bersempena pesta Perahu Berhias Nusantara.

Nisha dilahirkan dan dibesarkan dalam atmosfera keperempuanan dan kerana faktor itu dia dibenci dan ditinggalkan oleh kawan-kawan sekolah. Tekanan hidup dan cacian nista manusia mengheretnya ke kancah dunia gelap seorang lelaki yang menukar jantina.

“Saya ini walaupun Mak Nyah, tapi saya tak kacau hidup orang lain tau,” erang Nisha di kaunter tiket menaiki perahu. Rakan-rakan sekerja yang lain melayan telatah Nisha yang merupakan salah satu peserta muslim dalam pertandingan ratu cantik ‘Miss Malaysia Petite’.

Aku menghidupkan enjin perahu, mendengar dari pojok kejauhan, memincingkan mata dan dalam hati sesekali menyumpah seranah. Akan tetapi nasihat Ustaz Zikri kembali menduga.

“Golongan ini bukan golongan yang perlu disisihkan dan terus dihukum melulu secara kaul, tetapi mereka perlu dilindungi dan dirawat.”

‘Oh ya petang ini aku ada seminar kesedaran penyakit akhlak LGBT,” monolog hatiku.

Dalam pada itu, pasangan warga Arab Mesir yang usai memakai jaket keselamatan melangkah masuk ke dalam perahu menyebabkan ada hinjutan dan oleng-olengan kecil. Sebelum memacu laju perahu, aku menjerling ke arah Nisha, senyuman manisnya terkuntum. Dia tiba-tiba berlari ke arahku dan katanya ingin berborak denganku.

“Saya tidak pernah berjumpa orang sebaik kamu,” ujar Nisha. Dia bermain-main air tasik.

“Terima kasih, kamu pun apa kurangnya.”

“Tak. Saya ini jahat sangat. Disebabkan saya terbuang oleh ibu bapa dan masyarakat, saya menjual dadah untuk menampung kehidupan.” Pecah tangis Nisha kedengaran.

Aku mengetap bibir tak mampu berkata apa-apa. Kemudian aku menangkap perbualan pasangan Arab Mesir tersebut. Mereka membincangkan kes lelaki yang dibenarkan berpakaian wanita di beberapa negeri di Malaysia.

Aku tertunduk malu kerana sepatutnya Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf agama Islam tidak boleh mengguna-pakai tuntutan deklarasi dari negara luar yang bercanggah dengan seksyen 66 meskipun di atas nama Hak Asasi Kemanusian.

Di dewan universiti, Seminar Kesedaran LGBT dijalankan sebelum adanya program Mukhayam anjuran JAKIM untuk membimbing golongan ini. Ustaz Zikri mulai membentang konsep asbab dan musabab dan musabib al-Asbab (Allah) dalam kaedah rawatan Islam. Doktor pengubatan Islam percaya bahawa seluruh penyakit di dunia ini kebanyakannya disebabkan oleh gangguan iblis, jin dan syaitan.

Begitu juga dengan gangguan sejenis syaitan yang bernama wasim. Syaitan inilah yang mengganggu pelancaran hormon lelaki atau wanita dan menghasut anak Adam melakukan maksiat termasuk perkara di luar kelakuan. Kerana itu kita digalakkan untuk menjaga adab dengan mata, telinga, lidah, mulut, dan perut dengan mengikuti pengajian Tibb Nabawi.

Ustaz Zikri menerangkan lagi tentang kedudukan syaitan wasim dalam kerangka anatomi dan fisiologi membuatkan sarwa pemikiranku terbuka luas untuk menangani masalah keruntuhan moral yang melanda golongan LGBT. Mereka perlu dibujuk dengan lemah lembut dan kesedaran agama supaya mereka berubah dengan perlahan dan merelakan diri untuk menjalani rawatan.

Ada juga kes lelaki yang menggunakan ilmu sihir untuk mencantikkan wajah dan minyak dagu untuk menarik perhatian. Hal ini perlu diketahui umum agar ibu bapa dan masyarakat mengambil sikap tidak mengabaikan tanggungjawab masing-masing.

Bulan penuh mengapung bersama bintang-bintang yang berkenjah-kenjah. Tamat sahaja kerja, aku menunggang motosikal untuk pulang. Cahaya lampu jalanan berbalam-balam memancar saat kususuri sebuah terowong menuju ke rumah.

Sebuah teksi yang berhenti di bahu jalan begitu mencurigakanku. Desah rasa curigaku membuatkan aku menghentikan motosikal dan berjalan menyelidiki teksi tersebut.

Derik suara jeritan menjerkah telingaku. Dalam teksi tersebut, seorang lelaki dengan berpakaian cacamarba mencerkup mulut seseorang yang cukup kukenali.

“Ya Allah Nisha.”

Dalam kekalutan, aku menumbuk cermin kereta sehingga pecah. Pintu dibuka dan lelaki jalang itu kuseret keluar. Adegan tumbuk menumbuk berlanjutan sehingga lelaki itu tidak sedarkan diri.

Nisha yang digeseri ketakutan menundukkan wajah. ‘Biul’ seketika. Aku menyuruh dia segera naik ke motosikal untuk dihantar pulang.

“Errr Handawiy, tolong saya. Saya ingin keluar dari dunia penyakit akhlak dan dosa ini. Saya ingin bertaubat sebelum saya mati,” esak Nisha. Biola rasanya berbunyi syahdu.

“Kamu jangan risau, sesungguhnya Allah Maha Pengampun dan Dia tidak akan mepersia-siakan setiap jiwa hamba-Nya. Perlahan-lahan kamu perlu jaga hubungan dengan Allah. Amalkan solat taubat dan jika sudah benar-benar bersedia, InsyaAllah saya cuba merawat,” balas Handawiy.

PERUBAHAN dan pengorbanan untuk kembali ke pangkal jalan Allah adalah tindakan adil yang begitu puitis bagi insan yang mendambakan redha dan petunjuk Ilahi. Ganjaran dari-Nya teramatlah berharga.

Firman-Nya yang bermaksud, “Hai hamba-hamba-Ku yang malampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia-lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (QS. Az Zumar: 53).

Embun sayu sepi-sepi menyerap naik kekeringan. Pelangi pagi merintang angkasa. Nisha dengan berbaju serba putih tiba menemuiku di pusat rawatan Islam. Setelah pulang daripada program Mukhayam anjuran JAKIM, kini dia lebih bersedia untuk menjalani rawatan gangguan syaitan wasim yang meluap-luap dalam diri.

Sebelum memulakan rawatan, Handawiy teringin untuk tahu satu perkara, “Nisha, Boleh saya tahu nama sebenar kamu?”

TASIK PELANGI masih riuh randah dengan kedatangan para pelancong. Hari ini hari terakhir aku bekerja sebelum memasuki semester baru dalam kajian tentang etika atau Ilmu Akhlak.

Nisha yang kini kupanggil Ahmad, muncul dengan wajah segak dan kemas. Kini Wasim sudah tiada dalam dirinya.

kaedah-merawat-lgbt-2Sumber: http://www.drjahidsidek.wordpress.com

Advertisements