Lihat bunga-bunga yang gugur itu,
 Terang tiada melayang sepetang,
Bila rasa yang ada tak bisa luntur,
Kemana perlu halaku merintih tenang,
Mata biar jauh mengimbau lampau,
Saratnya pasti memori linang,
Untailah kata berangkai kata,
Moga dilihat senang dirindu kenang,

DANIAL melipatkan baju dan memasukkannya ke dalam kantung beg untukku. Menyambungkan pelajaran di Mesir dalam bidang agama adalah citarasa yang aneh sekali bagiku dalam memulakan dunia mahasiswa.

“Kita akan berpisah agak jauh, harap kau membuat keputusan yang tepat,” pesan Danial seolah berat untuk melepaskanku pergi.

Sahabat baikku semenjak sekolah rendah itu seperti kesedihan kerana aku memilih jalan ini. Walaupun tidak sedarah sedaging, akan tetapi hubungan kami bagai air yang dicencang takkan putus.

“Sepatutnya kau harus berbahagia kerana aku sudah menginjak sehingga ke peringkat ini tahu,” aku memuncungkan bibir.

“Baiklah Fikri, jangan lupa kirimkan salam aku kepada Naqqiudin yang katanya belajar di sana juga.” Danial membalas dengan agak sebak.

Hampir dua bulan berada di Mesir. Rasanya terasing. Aku menunggu di bawah pepohon palma tamar yang gemuk sementara menanti pelajar-pelajar Islam Selangor yang lain keluar dari dewan ujian kelayakan bahasa Arab di Markaz Syeikh Zayed. Cuaca sangat terik membuatkan baju Melayu yang dipakaiku melencun. Mataku ralit memerhati ke arah monumen piramid kecil yang kelihatan utuh.

“Assalamualaikum Fikri, lamanya tak berjumpa,” seorang lelaki menyapaku.

“Eh, Naqqiudin. Waalaikumussalam. Iya lama sudah kita tidak bertemu. Selama ini kita hanya berhubung di mukabuku aja bukan. Aku fikir kau sambung belajar di Malaysia,” balasku.

“Sebenarnya sejak aku dapat tahu yang kau ingin sambung belajar di Mesir, aku menolak tawaran untuk belajar di UIA dalam bidang Kesusasteraan Arab,” akui Naqqiudin.

“Tak sangka sampai begitu sekali kau bersemangat ikut aku,” tuturku teruja.

Aku membundarkan mata dan jantungku berdegup. Wajah Naqqiudin seiras Danial, bagai pelanduk dua rupa. Suara Naqqiudin tiga tahun yang lalu bergomol dan mengapung kedengaran. Kami bertemu di saringan akhir Pertandingan Debat Piala Menteri di Pahang. Naqqiudin wakil dari negeri Perak manakala aku wakil dari kontigen Selangor.

Naqqiudin juga berjaya merangkul gelaran pendebat terbaik keseluruhan mengalahkan aku, Danial dan Syazwan.

Kelihatan Pelajar Islam Selangor berpusu-pusu keluar dari dewan. Masa sangat terhad untuk kami berbual tambahan asrama bangunan Selangor agak jauh dari asrama bangunan Perak. Begitu juga dengan nilai kenegerian telah memisahkan jurang perkenalan kami kerana tiada program di peringkat pusat yang dapat mengumpulkan kami semua.

“Aku pulang dulu Naqqi,” kataku. Aku sempat memberi nombor telefonku dan berfoto sebentar.

Tinggg. Bunyi telefonku bergenta menanda ada mesej yang merempuh masuk aplikasi media sosial, Whatsappku. Ketika itu aku baru sahaja keluar dari tandas.

DANIAL : Fikri, kenapa kau sudah tak mesej aku. Kau dah lupa aku ke. Kau memang tak menghargai aku kan. Kalau beginilah sikap kau, semua orang tak hendak berkawan dengan kau tahu.

Aku mengetap bibir. Kata-kata Danial benar-benar menjolok lubuk kesabaranku.

FIKRI : Kau ingat aku ini apa? Memanglah kita sahabat baik tetapi takkanlah aku hendak melekat dengan kau selamanya. Lagipun aku sudah berada di Mesir.

Belum sempat aku membalas, aku sudah diblok oleh Danial. Sifat sensitif yang luar biasanya sukar dijangka dan dikawal. Aku kegeraman. ‘Danial, I’m so sorry.’

Di asrama rumah Selangor, lama sudah Danial tidak menghubungiku. Begitulah ragam hidupku yang gemar bersendirian, menatap kepulan awan kelabu yang bercapuk-capuk, sekonyong-konyongnya musyrif rumah memanggilku.

“Fikri, ada tetamu di bawah,” panggil Ustaz Humaidah.

Kelibat Naqqiudin sudah menunggu di Kafetaria Selangor. Terdapat sekeping fail berwarna hijau terbaring melentang di permukaan meja.

“Lama menunggu? Naqiuddin apa khabar.” Aku mengambil tempat duduk bertentang mata dengannya.

“Aa datang pun. Tidak lama pun hanya sepuluh minit. Alhamdulillah baik. Maaflah lama sudah kita tidak menanya khabar.” Naqqiudin mengeluarkan sehelai kertas dari fail.

“Sebenarnya aku berhasrat untuk mengajak kau menyertai Debat Piala Duta Besar di Iskandariah minggu depan. Kau berminat?” soal Naqqiudin.

“Kalau benar-benar bermanfaat, aku boleh saja.” Fikri menyibak dan menyeluruhi topik perdebatan di kertas.
“Baguslah begitu, kau ada kawan lagi seorang untuk cukupkan kumpulan kita?” soal Naqqiudin.

“Sekejap aku tanya Syazwan. Dia antara pendebat nusantara yang hebat juga.”

“Okei, kita namakan kumpulan kita Pendebat Muda Al-Azhar.”

Seminggu lebih kami berlatih, sepanjang bertolak ke Iskandariah menaiki kereta api ayam, ustaz Humaidah menjadi pembimbing kami di sana. Iskandariah bandar sejarah yang sangat menggiurkan – didirikan oleh anak Raja Philips jua merupakan anak didikan Aristotle iaitu Alexander The Great. Iskandariah juga menyimpan kisah cinta hangat firaun terakhir, Cleopatra. Kemudian bandar ini menjadi portfolio terakhir yang ditawan oleh junta tentera muslimin pimpinan Amru Al-Asr.

“Mereka dari universiti mana, datang lambat betul.” Bunyi sosek-sosek kedengaran. Aku terluka mendengar, Naqqiudin tenang sahaja dan Syazwan mulai mencuka.

“Dari Universiti Al-Azhar. Kenapa ada masalah ke?” tebak Syazwan dengan mulutnya yang murai membuatkan terlongo mulut mereka.

Kami agak keterlewatan kerana bumi Iskandariah ketika itu ditimpa hujan menyebabkan ada kawasan yang banjir. Kami terpaksa menunggu tram menuju ke Pusat Konvensyen Medika di Champolien Street.

Pengisytirahan usul berbunyi ‘UNIVERSITI MELAHIRKAN MAHASISWA LESU’ dibentangkan dan kami ditakdirkan untuk bertemu dengan kumpulan yang mengumpat kami tadi.

“Tuan Yang Dipertua, saya tak nampak perkaitan antara Universiti dan akta AUKU dan yang dikatakan oleh YAB Perdana Menteri kononnya menghalang mahasiswa menceburkan diri dalam bidang politik. Kerana hari ini kita berbincang soal sistem universiti yang menjadi topik utama dan bukannya undang-undang negara yang merupakan topik sekunder.” Naqqiudin mematahkan satu per satu hujah di meja kerajaan dalam keadaan terbatuk-batuk kerana sakit tekak.

Hakiman dan ahli dewan menguntum senyuman panjang dengan idea dan kepetahan Naqqiudin, Ketua Pembangkang.

Sehingga tibalah giliranku, kedebaran, aku menelan air liur. Terdapat kesilapan struktur tugasan yang aku lakukan sehingga aku ditolak markah. Aku juga membuat kesalahan kerana membuat konsep baru tentang sistem universiti sehingga dikritik pedas oleh Menteri Ketiga di perwakilan kerajaan.

“Fikri aku ingin tegur sedikit tentang cara dan sikap kau dalam perdebatan.” Naqqiudin seperti kecewa kerana kekalahan di saringan pertama.

Syazwan juga turut ingin menegurku yang menjadi punca segalanya.

“Pertama, kau sepatutnya sudah ada isi, tetapi masalahnya kau tak tahu untuk keluarkannya. Banyak kita bincang tadi, tentang program anjuran universiti, kedudukan dan banyak lagi. Kenapa tadi satu hapak pun tak keluar?” berang Naqiuddin.

“Eh kau tak boleh macam ni Fikri. Kita sudah seminggu berlatih.” Syazwan menambah teguran.

Aku terguris. Teringatkan bagaimana aku ditegur oleh Danial ketika berdebat di Malaysia dahulu. Keadaannya tetap sama. Memang aku manusia biasa, tidak lepas dari kesalahan.

Usul kedua berbunyi ‘WANITA TIDAK PERLU BEKERJA’.

“Keadaan wanita di Malaysia yang dipaksa untuk bekerja lebih masa, dan diberi kerja-kerja berat serta penguatkuasaan yang lemah sehingga wanita memilih karier bekerja dalam sektor pelacuran telah melanggar tiga garis Dasar Wanita Negara 2009. Oleh itu pendirian kami di meja kerajaan adalah wanita tidak perlu bekerja dalam perkara yang melanggari Dasar Wanita tersebut.” Naqqiudin ligat mengeluarkan konseptual.

Sehingga tiba di giliranku, lembaran kertasku terjatuh dan aku segera mengutip, lidahku kelu dan gagal memahami konsep Dasar Wanita Negara tersebut sebaiknya malahan tidak bersedia menjawab celahan dari meja pembangkang. Aku sangat kelu, ‘Naqqiuddin, aku tak mampu lakukannya.’

Fikri tidak bersuara. Hanya duduk dan merenung pantai Montaza yang berkelipan. Matahari menghurubkan diri sepertiku. Aku tidak hadir ke sesi perdebatan seterusnya kerana kecewa akan diriku.

Pada saat ini aku sangat merinduimu Danial. Sahabat sepasukan yang sepatutnya sentiasa menerima keburukan dan kesilapan diriku. Tetapi kita sudah lama tidak bertegur. Sekian lama semenjak pertengkaran tempoh hari.

“Sahabat, kau ada masalah ya. Janganlah simpan seorang diri. Ceritalah pada aku.”

Naqqiudin muncul ketika air mataku mengalir tumpah. Syazwan cuba memujukku. Aku menghentikan buaian rinduku langsung mengesat air mata.

“Minta maaf Fikri, aku garang sangat tadi. Tak mengapa kita perlu belajar dari kesilapan dan pengalaman. Walaupun kalah, persahabatan kita tak harus terikut kalah.”

“Betul tu Fikri, persahabatan lebih utama daripada harga sebuah kemenangan. Kita berdebat pun bukan sebab hendak menang, tetapi menguatkan kepercayaan dan kejujuran, saling merima nasihat dan menjaga aib sesama kita.” Syazwan menambah.

Sahabatku tersenyum menyokongku. Keluangan ini kugunakan untuk bercerita tentang Danial, sahabat yang kurindui dari jauh.

“Laa, sebab tu aje fikiran kau terganggu. Dah mari pulang. Malam ini kita makan besar. Hahaha.”

Kami ketawa terbahak-bahak. Entah bagaimana perwujudan Naqqiudin, segenap bisa menggugurkan rinduku yang terbuku.

 Saat aku menitip suratku ini buatmu,
 Ketahuilah masa-masa yang dulu,
 Membuatku tersenyum terkadang bisu seribu,
 Sendu tawa silih terngiang membawa pilu,
 Mengingat kembali kini kita sudah hilang rindu,
 Atau aku yang menjauh sendiri menusuk sembilu,
 Tika tersedar dilukai oleh madahmu,
 Bagai tiada berpijak di bumi dahulu,
 Kenyataan ditempuh bertopengkan tipu,
 Dalam ku merintih luar ku jernih,
 Jalanku dan jalanmu biarkan sendiri memilih.

-Fikri

 

12990909_1685568505043107_2630571963529546698_n

Advertisements