Minggu ini bermula pendaftaran kuliah semester baru. Kuliah seawal 9 pagi tidak terlalu membebankan bagi mahasiswa yang tinggal berdekatan Universiti Al-Azhar untuk duduk di dewan pengajian. Selaku mahasiswa baru, banyak impian yang melorong saya untuk terus melangkah lebih jauh. Salah satunya adalah ingin mendalami ilmu falsafah secara khusus.

Walaupun subjek Falsafah adalah subjek tahun dua, tetapi obsesi diri telah mendorong saya menggeledah dan mennyusur akar umbinya. Saya tidak segan berpura-pura tahu walau hakikatnya saya seorang yang dangkal ilmu. Bagi saya Falsafah adalah bagaimana tahap kita menghayati dan menyelesaikan persoalan di muara dan hilir kehidupan. Bak kata Socractes, guru Plato:

“Kehidupan yang tidak diperiksa tidak layak untuk dihayati (the unexaminated life was not worth living.)

Saya sentiasa berbuka hati menerima pendapat sahabat-sahabat yang menafikan kedudukan falsafah dalam Islam. Hal ini kerana falsafah tidak sama kedudukannya dengan wahyu atau Makrifah Nubuwwah yang lebih tinggi. Namun tidak adil hanya mempelajari ilmu wahyu kemudian menolak secara total kedudukan ilmu falsafah. Seperti ibu bapa yang hanya menumpukan perhatian pada anak sulung sedang anak bongsu dibiarkan.

Secara literalnya, Falsafah atau Philosophy diambil daripada perkataan Yunani Philo Sophia.

Philo – Cinta

Sophia- Kebijaksanaan

Philo + Sophia = Philosophy – Cinta akan Kebijaksaan.

Plato (427-347 SM) merumuskan bahawa falsafah adalah pengetahuan tentang segala kewujudan, sementara   muridnya Aristotle (384-322 SM) merekodkan:

“Falsafah adalah usaha akliah menyelidik sebab dan asas segala benda, mengkaji hal yang beliau menamakan sebagai metafizik yang meneliti asal wujud (being).” 

Ahli Falsafah Islam, Al-Farabi (870-950M) berpendapat:

“Falsafah ialah ilmu pengetahuan tentang alam yang wujud dan bertujuan menyelidik hakikatnya yang sebenarnya.” 

Titus (1959: 8-9) mengemukakan beberapa pengertian tentang falsafah iaitu sikap tetap hidup dan alam semesta, satu kaedah pemikiran reflektif dan penyelidikan akliah, satu peringkat (memahami) masalah dan satu peringkat teori atau sistem fikiran dalam usaha mencari kebenaran.

Ibn Rushd (1126-1198) juga berkata:

“Falsafah ialah penyelidikan tentang alam wujud dan memandangnya sebagai jalan untuk menemui Maha Pencipta segala ciptaan.”

Manakala Ibnu Tufayl (1110-1185) menegaskan falsafah berusaha mencari kebahagiaan dan kebenaran melalui pemikiran dan banyak lagi.

Justeru falsafah sememangnya sangat penting dalam praktis kehidupan mencakupi kebaikan biologi, keperluan jasad, keperluan luaran dan kebaikan roh. Kehidupan yang terbaik hanyalah untuk manusia yang hidupnya berfalsafah, iaitu menggunakan akal dan bertindak sebagai manusia (ergon).

Mahkota bermutu manikam akliah
Kukuh lantera berpaksikan akidah
Tersegam indah di kerajaan kehidupan
Sebuah kota etika, persoalan dan ilmu pengetahuan.

Di mana dapat kucari pemimpin yang ideal?
Tentulah kesateria pemikir memberi penyingkapan
Socrates, Plato, Aristotle guru utama
Farabi, Ibn Rushd, Kindi pula merincikannya,
Bagai notasi syair yang berseni
Umpama kompas kala hilang arah tujuan.

Marilah menelusuri dunia cinta filosofikal
Tersukat penghayatan alam metafizikal
Mengajar sikap pada alam natural
Rugilah mereka yang meranapkan istana tauladannya
Melengkapkan biologi, jasad, luaran dan jiwa.

Kukepingin hanya hakikat tertinggi ini
Kebahagiaanku adalah kekayaan akal fikiran dan nurani
Demi menghadapi gelombang realiti
Demi mengenal Sang Ilahi.

-Fajar Islam
-5 Oktober 2016
-Darasa, Kaherah, Mesir

14591625_297597083959225_6925535555734989296_n

Advertisements