SEBELUM kedatangan tamadun Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW, masyarakat madani terutamanya di sebelah barat menggunakan akal rasional dalam mencapai sesuatu matlamat kehidupan. Nama-nama seperti Thales (625-545 SM) dan Pythagoras (580 SM) menjadi fenomena dalam dunia intelektual. Pada zaman itu, falsafah hanya dipandang sebagai ilmu tentang batu, bukit, pokok, angin, sungai dan sebagainya dan hal ini terakam dalam kumpulan ontologi syair seperti Homeros dan Hesidios.

Kehadiran metod berdialog dan berdebat yang dicambahkan oleh Socrates dan Plato kemudian mentransfomasikan falsafah kepada pusat penilitian ilmu kehidupan melibatkan etika, ilmu pengetahuan, psikologi, kesihatan dan seumpamanya. Sehingga akhirnya Socrates membuat kesimpulan adanya Pencipta Mutlak serta menyeru masyarakat mempercayai satu tuhan. Perjuangan falsafah diteruskan oleh seorang tokoh kenamaan Greek bernama Aristotle bin Nichomacus yang dibimbing oleh Plato selama 18 tahun di Academi.

Seterusnya, tradisi intelektual Islam berkembang biak umpama cendawan tumbuh selepas hujan pada era pemerintahan Islam. Tokoh-tokoh seperti filsuf Islam pertama al-Kindi, seterusnya Ibnu Sina, al-Farabi, Ibn Rushd, Ibn Tufayl, Al-Faruqi, Al-Biruni, Shahrastani, Ibnu Hazam dan ramai lagi banyak menyumbang hasil kerja pemikiran agung dalam bidang ontologi, metafizik, etika, politik, dan epistemologi.

Namun marcapada kini, falsafah kelihatan sedikit kusam kerana tiadanya ahli falsafah dalam Islam. Masyarakat bagai kehilangan kuasa dalam bidang pemikiran sehingga falsafah tak lagi dipandang sebagai ilmu yang penting dalam kehidupan malah individu sendiri. Falsafah itu indah tetapi skop dan ruang lingkupnya semakin hari semakin kecil. Jadi penting bagi kita untuk mengetahui apakah kuasa falsafah dalam individu sebelum masuk ke dalam topik falsafah kepada masyarakat dan negara.   

  1. Falsafah dengan metod akal yang rasional akan membantu individu mencapai kepuasan dalam usahanya yang ingin mengetahui dan mencari jawapan mengenai sesuatu.

  2. Falsafah akan meningkatkan tahap kematangan minda daripada peringkat rendah kepada kematangan.Pengetahuan yang akan diperolehi melalui penggunaan akal rasional membantu peningkatan ilmu dan sekaligus meningkatkan juga tahap kematangan individu.

  3. Falsafah membina kemahiran dan kemantapan berfikir serta memperkenalkan metod befikir yang sejahtera.Hal ini dapat dilihat apabila individu menggunakan metod yang sejahtera dalam berfikir, ia akan membawa individu tersebut kepada penguasaan kemahiran berfikir dan dapat menyelesaikan masalah dengan mudah dan cepat serta tepat.

  4. Falsafah membantu individu menyelesaikan permasalahan kehidupan dengan sistematik dan pasti.

  5. Falsafah menjadi senjata individu untuk mempertahankan idea, pegangan, dan kepercayaan (selain daripada jalan wahyu) daripada halangan dan kritikan.

  6. Falsafah mendorong individu mencapai matlamat yang dihajati dalam kehidupannya sama ada mencapai kejayaan, kebaikan, kesenangan dan kebahagiaan.

  7. Falsafah menyediakan kemudahan yang mencukupi untuk individu berkembang majuke hadapan menerusi pemikiran atau kreativiti, tingkah laku atau aktiviti menerusi model tokoh yang ideal dalam sejarah atau yang masih hidup supaya seseorang dapat mengukur kemajuannya dan memperbetulkan arah tujuannya.

  8. Mengatur dan mengawal kehidupan individu dalam satu rangka kerja, tidak kira sama ada individu itu berpegang kuat pada mitos, adat istiadat, warisan, budaya tersendiri, undang-undang atau agama. Dalam semua perkara tersebut, terdapat satu rangka kerja, iaitu falsafah yang tersirat dalam sifat semula jadi dan itu yang penting untuk semua manusia. (Ensiklopedia Islam 1998)

Justeru, falsafah sememangnya tidak dapat lari daripada kehidupan manusia. Falsafah juga dapat mempertingkatkan keyakinan individu dalam mendalami dan menghayati konsep kekuasaan mutlak Allah SWT, memberi pendidikan jiwa dan menyempurnakan akhlak.

scenes_of_teaching_and_learning

Advertisements