Rupanya untuk sekian lama, selalu saya mengabaikan guru dalam mendalami ilmu. “Membaca kitab perlu berguru,” nasihat seorang sahabat.

Usai solat Jumaat, kebiasaannya Masjid Al-Azhar mengadakan majlis ilmiah. Banyak perihal ‘Manhaj Al-Azhar’ yang disentuh oleh Syeikh Muhanna setelah mengupas isi kitab Ihya Ulumuddin tadi. Antara perkara yang memenuhi dada saya adalah ketika Syeikh menasihatkan agar pelajar Al-Azhari berusaha dengan bersungguh-sungguh dalam menguasai ilmu alat seperti

1.Nahu
2.Sorof
3.Ishtiqaq
4.Seni-seni Balaghah
5. Usul Fiqh
6. Ulum Hadis
7. Mantik dan selainnya.

Dengan ilmu alat ini akan membantu kita menguasai ilmu-ilmu lain seperti Tafsir Al-Quran, Tauhid, Hadis, Feqah, Sastera dan seterusnya. Ilmu ini hanya dapat diperolehi dalam kitab turas (klasik) dan dibimbing oleh seorang guru.

Nasihat Syeikh benar-benar hinggap di ruang fikiran saya. Di teratak tercinta, saya ada menyimak kembali sebuah dialog tentang bagaimana status kelayakan seseorang ilmuan dalam meriwayat, mengajar, mengarang dan menyampaikan ilmu.

Salah seorang bertanya:

“Berapa lamakah kamu lazimi dan bergaul dengan guru-guru kamu?”

Salah seorangnya menjawab, “Saya pernah bertemunya sekali dua, atau melaziminya beberapa jam.”

“Maka bagaimanakah mungkin dirinya memperoleh ilmu? Dan bagaimanakah mungkin kefahamannya dapat diyakini?!”

Begitulah prinsip seseorang  Al-Azhari yang tulen. Penting untuk mengambil tempoh masa yang lama di bawah seliaan ulama dalam menguasai ilmu terutamanya ilmu alat.

Mudahan kita dapat memahami dari guru-guru dan manhaj-manhaj pemahaman yang muktabar, serta mengetahui pintu-pintu atau ruang-ruang makrifat.

Hanya nasihat kecil dari saya, ikutilah semuanya yang terbaik tetapi pastikan ianya seimbang. Selamat beriltizam!

-Fajar Islam
-14 Oktober 2016

Advertisements