SETELAH mengetahui serba sedikit aliran teologi yang bersimpang siur, saya mulai rasa sedikit gusar untuk mendalami filosofi yang kebanyakannya didirikan oleh filsuf yang bukan bermazhab sunni. Tetapi saya percaya masih ada ahli falsafah muslim yang beraliran sunni seperti Imam Al-Ghazali, Rabia’tul Al-Adawiyah, Maulana Rumi dan yang lebih moden lagi Muhammad Iqbal serta pemikir bernalurikan sufisme yang lain.

Saya juga mengambil pendekatan dengan menggigit sekuat-kuatnya akidah sunni sepanjang mendalami ilmu falsafah. Kerana konsep belajar falsafah, yang ingin kita petik bukanlah akar akidahnya, akan tetapi buah-buahan sumbangannya. Sebagai contoh Isaac Newton-saintis Barat yang terkenal. Beliau bukan seorang muslim akan tetapi sumbangannya ternyata menjadi rujukan buat orang Islam yang mempelajari ilmu fizik.

Rasulullah bersabda:

“Sesungguhnya telah aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, kamu tidak sekali-kali akan tersesat selagi kamu berpegang kepadanya iaitu kitab Allah dan Sunnah Rasulnya.”

Sekurang-kurang ada lima orang ilmuwan Islam yang mengkaji secara mendalam falsafah Barat sehingga mereka sendiri menjadi pakar dalam pelbagai bidang ilmu. Dalam penerokaan serta penelitian mereka ke atas pelbagai aliran falsafah Barat, sedikit sebanyak pengaruhnya memberi kesan terhadap pembentukan falsafah yang dianuti walaupun mereka menggunakan Islam sebagai kerangka rujukan. Kita akan telusuri pemikiran setiap seorang daripada mereka dan kita akan mulakan dengan al-Kindi.

Al-Kindi (801-873M)

Nama penuhnya ialah Abu Yusuf Ya‟qub Isahaq al-Kindi, di Barat dikenali dengan nama AlKindus, seorang polymath (pakar dalam pelbagai bidang ilmu): ahli falsafah, saintis, physicist, astrologer, astronomer, kosmologis, ahli kimia, ahli logik, ahli matematik, ahli musik, tabib, psikologis dan ahli kaji cuaca. Beliau menguasai pemikiran falsafah Greek-Hellenik (Yunani) dan kemudian memperkenalkannya ke dunia Arab. Al-Kindi cuba mengharmonikan ilmu falsafah dengan ilmu wahyu dan memperkenalkan ilmu logik Islam (mantiq) yang sebahagian besarnya dipengaruhi oleh pemikiran Aristotle, seperti konsep “first cause” (penggerak utama) dan “unmoved mover” (penggerak yang tidak bergerak).

Kedua-dua konsep ini merujuk kepada zat Tuhan, yang disesuaikan dengan sifat Tuhan dalam Islam. Dalam perkara menjelaskan kaitan falsafah dengan wahyu, al-Kindi menjelaskan kedua-duanya mempunyai matlamat yang sama iaitu untuk sampai kepada kebenaran. Hanya sahaja dalam falsafah, seseorang terpaksa belajar lama menjalani pelbagai latihan sehingga menjadi seorang ahli falsafah (failasof), tetapi wahyu yang diberi kepada seorang nabi dan rasul tidak menjalani proses yang sama kerana mereka diberi anugerah oleh Tuhan untuk menerima ilmuNya.

Oleh yang demikian menurut al-Kindi kedudukan para nabi dan rasul lebih tinggi daripada seorang failasof. Al-Kindi dapat menyebarkan buah fikirannya secara meluas kerana beliau mendapat dukungan Khalifah Ma‟mun dan al-Mu‟tasim yang mempertahankan aliran pemikiran Mu‟tazilah. Namun kemudiannya, apabila khalifah al-Mutawakkil mengambil alih pemerintahan dan menentang aliran Mu‟tazilah, al-Kindi dituduh sebagai orang yang mengagungkan akal sehingga menyamai kedudukan wahyu. Pokok-pokok pemikiran al-Kindi meliputi antara lainnya:

i) Al-Kindi meletakkan falsafah menduduki tempat tertinggi di kalangan semua ilmu dan beliau mengagungkan Aristotle.

ii) Dalam bidang metafizik beliau merumuskan bahawa semua fenomena alam ini terletak pada empat persoalan: dari mana? (unsur pennciptaan); apa? (bentuk, form, ṣurah, jenis) mana? (sebab perbezaan); mengapa? (tujuan kesempurnaan). Mengenai konsep ex-nihilio, al-Kindi berbeza pendapat dengan Aristoteles yang menganggap dunia ini abadi, tetapi al-Kindi menyesuaikannya dengan ajaran Islam dan mengatakan dunia ini tidak abadi.

iii) Dalam bidang antropologi, al-Kindi menggabungkan fahaman dualisme Plato dengan ajaran al-Qur‟an.

iv) Di-bidang Etika, al-Kindi mengutamakan kaedah stoa (kebahagian hidup di dunia) dengan konsep zuhud oleh Socrates.

 

 

Al-Farabi (872 – 950M)

Nama penuh beliau ialah Abu Nasr Muhammad ibn al-Farakh al-Farabi, anak kelahiran Farsi (sekarang, Iran) dan di Barat dikenali dengan nama Alpharabius dan Abunaser. Seorang ilmuwan, menguasai banyak bahasa dan ahli dalam bidang kosmologi, logik, musik, psikologi dan sosiologi. Beliau menguasai falsafah Greek-Yunani, oleh kerana itu corak pemikirannya banyak dipengaruhi oleh pemikiran Aristotele, Plato, Porphyry dan Ptolemy. Beliau diberi gelaran “The Second Teacher” bermaksud guru kedua selepas Aristotele.

Antara beberapa pemikiran besarnya ialah menempatkan kedudukan failasof dengan status penasihat kepada negara seperti yang diperkenalkan oleh Plato dalam bukunya The Republic mengenai konsep philosopher kings. Al-Farabi menghasilkan al-Madῑnah al-Faḍῑlah sebuah karya yang dikatakan memuatkan banyak pengaruh pemikiran Plato seperti yang terdapat dalam The Republic.

Ibn Sina (980 -1037M)

Nama penuhnya ialah Abu „Ali al-Husayn ibn Abdullah ibn Sina dan di Barat beliau dikenali dengan nama Avicenna. Beliau adalah anak kelahiran Parsi (Iran sekarang) yang juga dikenali sebagai seorang polymath. Penguasaan ilmu-ilmunya merangkumi bidang astronomi, kimia, ilmu logika, metamatik, tabib, penyair, ahli psikologi, saintis, ulama, tentera, negarawan, ilmu kalam dan seorang hafiz.

Ibn Sina cuba mendamaikan antara falsafah rasional dengan teologi Islam bagi tujuan membuktikan kewujudan Tuhan menerusi logika dan penakulan akal. Seperti juga ahli failasof sebelumnya, Ibn Sina menempatkan status akal begitu tinggi walaupun tidak menyamai wahyu para nabi dan rasul.

Al-Biruni ( 973 – 1048 M)

Nama penuhnya ialah Abu Rayhan Muhammad ibn Ahmad Biruni, anak kelahiran Parsi, juga seorang polymath, pakar dan berkeahlian dalam bidang sains, tabib, antropologi, psikologi, astronomi, kimia, astrologi, perkamusaan dan penensiklopediaan, sejarahwan, ilmu alam dan pengembaraan, geogoli, matametik, farmasi, falsafah Islam, kalam, ilmu perbandingan agama, sarjana dan guru. Beliau juga mempelajari tradisi Brahmanisme, justeru ia digelar Bapa Kajian Hindu (Father of Indology) dan menguasai bahasa Greek, Sanskrit, Syirac (Ibrani), Hebrew, Turki, Arab , Hindi dan Berber.

Antara pendapat al-Biruni yang menonjol ialah mengkategorikan agama Hindu sebagai agama tawhid (monotheistic) seperti Islam. Menurutnya, amalan menyembah berhala/ patung-patung seperti yang didapatinya dalam teks agama Hindu hanya bagi orang awam sahaja, dan bukan bagi mereka yang terpelajar atau mereka yang mempunyai ilmu agama Hindu kerana mereka menolak amalan menyembah berhala.

Ibn Hazm ( 994 – 1064M)

Nama penuhnya ialah Abu Muhammad Ali ibn Ahmad ibn Sa‟ad ibn Hazm dengan laqab (gelaran), al-Andalisu, al-Zahiri, lahir di Cordova, Sepanyol. Beliau adalah ahli sejarah, ilmu hukum, ilmu kalam, kesusasteraan dan pendiri aliran Zahiri (literalis) dan mengahasilkan lebih 400 judul tetapi yang masih dapat dikesan ialah 40 sahaja. Antara bidang ilmu yang dihasilkan ialah perundangaan Islam, logik, sejarah, etika, perbandingan agama dan ilmu kalam.

Beliau memberi penekanan terhadap peranan alat deria, terutama peranan akal sebagai alat memperolehi ilmu. Menurutnya, sumber utama ilmu yang sampai kepada seseorang individu adalah menerusi alat deria yang digerakkan oleh intuisi akal disertai keupayaan semantik. Beliau mempertikai pendekatan tradisionalis di kalangan ahli kalam yang tidak memberi ruang kepada logika akal.

Menurutnya lagi, umat di zaman Nabi berpeluang menyaksikan wahyu secara langsung, sedangkan generasinya keadaan begitu sudah tiada lagi dan mahu tidak mahu terpaksa menggunakan kekuatan logika untuk memahami seluruh ajaran Islam.

Rujukan: Dr. Ghazali Basri, K.K Simpang Siur Pemikiran Falsafah : Mengundang Pembaharuan Dalam Kehidupan Beragama Umat Islam


(120x180cm)+oil+on+canvas+.+1988.jpg

 

Advertisements