Premis Rawatan Islam atau Rawatan Spiritual Islam pada masa kini menjadi buah bibir dalam kalangan masyarakat. Namun adakah semua premis rawatan Islam itu benar-benar berkesan dan tidak menyalahi akidah? Tidak dinafikan, kewujudan rawatan tradisional yang menggunapakai khidmat syaitan dan jin masih berlaku dan memonopoli jenama ‘Islam’ demi mengaburi  mata orang ramai. Kejadian dan penipuan berganda-ganda ini terus-menerus berlaku dan menjadi adat kebiasan.

Islam melarang keras penggunaan jin dan syaitan dalam rawatan dan apa juga bidang kehidupan. Allah SWT memberi amaran keras kepada tukang-tukang tilik, bomoh, pawang, kahin atau golongan yang dikenali dengan al-Munajjim atau al-‘arraf. Firman-Nya yang bermaksud:

Dan (ingatlah) di hari kiamat yang padanya Allah akan himpunkan mereka semua (manusia, jin dan syaitan) (lalu berfirman): “Wahai sekalian jin dan syaitan! Sesungguhnya kamu telah menyesatkan ramai manusia.” Dan berkatalah pula manusia yang menjadi rakan kongsi jin dan syaitan. “Wahai Tuhan kami, ketika kami di dunia, kami tolong-menolong, bantu-membantu. Sebahagian kami telah mendapat berbagai kesenangan begitu juga jin dan syaitan yang menjadi rakan kongsi kami, mereka juga mendapat berbagai kesenangan. Dalam keadaan demikian tiba-tiba ajal kami yang Engkau tetapkan sampai (kami mati tanpa bertaubat). (Allah berfirman) : Nerakalah tempat kediaman kamu, kekal kamu di dalamnya, kecuali apa yang dikehendaki Allah.” (al-An’am : 128)  

Mengupas isu fiqh perubatan Islam dalam artikel Majalah Al-Islam, Disember 2012 oleh Dr. Hj Jahid Hj. Sidek, Pengasas Pusat Rawatan Islam Manarah (PRIM) bertajuk ‘Kekeliruan Masyarakat Dalam Rawatan Spiritual Islam’, terdapat 7 cara-cara atau unsur-unsur yang dapat dikesan dalam Perubatan Perbomohan yang menyeret kita ke kancah amalan syirik dan khurafat:

  1. Perawat tiba-tiba pandai merawat berbagai penyakit tanpa belajar.

  2. Perawat pandai merawat setelah didatangi oleh orang yang tidak dikenali ketika beribadat atau berdoa yang mengaku sebagai wali Allah atau tokoh-tokoh agama yang terkenal seperti Shaikh Abdul Qadir al-Jilani atau seorang nenek tua, panglima dan sebagainya.

  3. Perawat pandai merawat penyakit kerana diajar seseorang di dalam mimpi.

  4. Dapat kaedah rawatan menerusi bisikan suara.

  5. Pandai merawat setelah mendapat benda-benda ganjil seperti besi kuning, batu permata, keris, badik, buloh tumpat dan sebagainya.

  6. Rawatan yang ditawarkan kononnya didasarkan kepada kekuatan tenaga dalaman, tenaga aura, tenaga rezeki, jurus, jabat dan selainnya.

  7. Kaedah rawatan dipelajari dari kuil-kuil hindu, gereja, pagoda dan lain-lain.

Tuntasnya,  saya menyarankan agar pembaca mengambil langkah berhati-hati ketika memilih premis rawatan Islam. Saya juga mencadangkan pembaca untuk menghadiri simposium mahupun bengkel pengubatan Islam yang selalu dianjurkan oleh NGO Persatuan Kebajikan Bina Budi, Persatuan Munjiyat Malaysia, dan mana-mana badan kebajikan yang menawarkan premis rawatan Islam yang dipercayai.

Sumber: https://drjahidsidek.wordpress.com/2014/03/22/ciri-ciri-kaedah-perbomohan-perubatan-dan-perawat/

ciri-ciri-kaedah-perbomohan.jpg

Advertisements