Golongan sufiyyah sepanjang zaman silam mempunyai kedudukan penting dalam sosio-politik dunia.  Mereka ialah kelompok yang menggunakan pendekatan spiritual, moral dan keserdahanaan dalam membangunkan masyarakat Islam. Walaupun golongan ini menerima pelbagai tekanan dan tribulasi ; diseksa, dipenjara, ditohmah dan pelbagai lagi, mereka tetap berjaya menyebarkan dakwahnya sehingga tersebar ke pelosok dunia.

Sejarah membuktikan bagaimana pengaruh spiritual yang dibawa oleh golongan sufiyyah berusaha mengubah, menyusun, membentuk dan mencorakkan masyarakat serta negara Islam terutamanya di Afrika, Asia dan lebih khas Asia Tenggara.

PERKAITAN SPIRITUALITI ISLAM DENGAN  ILMU TASAWWUF

Spiritualiti dikonsepkan sebagai praktis atau pengalaman dan kesedaran rohani seorang manusia kepada Tuhan dalam merealisasikan kebenaran dan realiti.  Begitu juga konsep ilmu tasawwuf iaitu mengeratkan hubungan kepada Allah dengan tazkiyah nafs atau pembersihan jiwa .

Dengan kesedaran rohani ini, lahirlah pembangunan insaniah yang jauh daripada sifat-sifat buruk seperti apa yang melanda masyarakat hari ini.Insan yang elok tingkah dan tuturnya mempunyai kekuatan tersendiri dalam membangkitkan jiwa masyarakat. Oleh itu rahsia spiritualiti Islam atau Tasawwuf ini adalah kesempurnaan moraliti yang menjadi daya tarikan orang ramai. 

SEJARAH PENYEBARAN ISLAM OLEH GOLONGAN SUFIYYAH

Anda pasti pernah terbaca kisah pengislaman bangsa Tartar yang meruntuhkan Kota Baghdad . Diaspora Islamisasi itu berlaku bermula dari  pengislaman Berke Khan (1266M) setelah pertemuannya dengan seorang ulama dan ahli sufi di Khwarizm. Berke Khan adalah individu berbangsa Mongol pertama yang memeluk Islam. Beliau adalah cucu kepada Genghiz Khan dan sepupu kepada pemusnah dinasti Abbasiyyah, Hulagu Khan.

Hasil dari pengislahan itu, Berke Khan telah menubuhkan gerakan untuk menentang  bangsa Mongol sendiri dan cahaya wilayah Islam berkembang sehingga mencapai zaman keunggulan pada Dinasti Mungal  di India dan Afghanistan.

Sementelahan itu, gerakan Tijaniyah yang bertapak di Afrika; Sudan, Tanzania, Senegal, Nigeria membawa revolusi dan reformasi masyarakat Islam di sana. Tambahan lagi gerakan Qadariah, Naqshabandiah, khalwatiyyah,  Sanusiah, Ahmadiah, Rifaieah dan banyak lagi di negara Arab, Timur Tengah, Eropah, dan Asia Tenggara memberi impak yang besar dalam pembangunan tamadun Islam. Salah satunya penglibatan tokoh nasionalisme Libya, Syeikh Umar Mukhtar ( W. 1931M) dalam menentang penjajah  Itali.

REALITI POLITIK SUFISME DI NUSANTARA

Di Malaysia dan Indonesia, terdapat ramai tokoh sufiyyah seperti Syeikh Abd Wahab Rokan (W. 1916), Syeikh Yusuf Makasar ( W 1699), Syeikh Nuruddin al-Raniri (W 1644), dan ramai lagi yang menjadi pemimpin masyarakat Islam. 

Haji Abdul Malik Karim Amrullah atau HAMKA juga ialah pemimpin spiritual yang banyak memberi jasa besar dalam pembangunan sains sosial masyarakat. Begitu juga sumbangan Dr. Burhanuddin al-Helmy, tokoh haraki yang berjiwa sufi, dalam kestabilan politik tanah air.

Sebagai penutup, walaupun arus politik dan sosial semasa memberi gambaran yang kurang jelas terhadap hala tuju negara, masih ada mekanisme yang lain dalam mengembalikan kestabilannya. Usaha golongan sufiyyah dalam menyebarkan panji spiritualitinya bukanlah tertumpu pada aspek ibadah dan keakhiratan sahaja walaupun hakikatnya apa yang dialami oleh mereka adalah seperti itu.

Mereka adalah golongan yang terkehadapan dalam setiap bidang, tetapi memilih untuk tidak menonjol dan tidak ingin masyhur kerana percaya dengan prinsip yang diajar oleh ilmu Tasawwuf. Kajian yang lebih mendalam tentang spiritualiti Islam juga penting dilaksanakan oleh ahli agama, akademik, organisasi sosio-politik, dan banyak pihak lagi supaya dapat memberi kesan maslahah kepada masyarakat dan negara.

Rujukan :

Raziuddin Aquil , Sufism, Culture and Politics : Afghans and Islam in Medieval North India

Paul L. Heck, Sufims and Politics : The Power of Spirituality

Dr. Jahid Bin Sidek : Hubungan Tasawwuf Dengan Sunnah, Kepentingan dan Sumbangan Tokoh-Tokoh Sufi Dalam Pembinaan Tamadun

mucktar-2

Advertisements