SERASA ada ramuan indah yang tersukat di sebalik kenangan ini. Persahabatan kita berdua begitu aneh seperti Nil yang panjang dan berliku bukan? Namanya Atef – teruna berbangsa Arab Mesir, berwajah mulus bercahaya, segar kacak dipayungi kumis, berambut hitam menawan, berkulit merah-kemerahan, dan bermata keperang-perangan. Kami berbeza mazhab, perwatakan dan seluruh sudut. Tetapi sanubari kami begitu serasi.

     Kami bertemu di hari pertama kuliah berjalan. Dia tahu aku sangat lemah dalam banyak hal terutamanya bertutur dalam bahasa Arab. Atas kasad dan matlamat untuk mendalami bahasa Arab dan bertukar-tukar budaya, kami akhirnya bercadang untuk menyewa bilik bersama di sebuah apartmen berdekatan.

Kami menyusuri Nil hingga ke pelabuhannya,
airnya yang abadi tampak tersenyum,
tukang perahu berkulit gelap bernyanyi lirih,
perahu layar merentangkan sayapnya,
kami menangkap angin dan berlayar jauh,
sepanjang hari hingga fajar hingga ke Timur,
di mana kehidupan pagi dan kebenaran lahir dengan suka-cita.

Along the Nile by: Henry Abbey (1842-1911)

     Malam tika manusia tenggelam dalam pesona mimpi, seusai menghabiskan bacaaan puisi, Fajar melandaikan tubuh di atas katil empuk. Menyelimuti setiap juzuk badan dengan saratoga (selimut tebal) bercorak birah pelepah kurma.

     “Sudah mahu tidur?” soal Atef seraya menyilangkan kaki di kerusi belajar. Halkumnya tampak turun naik saat menutur bahasa Arab baku dengan jelas. Dia menutup buku Sejarah Empayar Al-Ayyubiah. Kemudian merebahkan diri di katil bersebelahan Fajar.

     “Atef, ceritalah memori yang paling manis dalam hidup kamu.” Aku memiringkan tubuh ke kanan, bertentang mata dan menangkap perhatiannya. Sudah lama kami tidak beromong panjang.

     “Yalah! Pada usia 5 tahun lampau, saya pernah menjadi juara dalam pertandingan hafazan Al-Quran di kampung saya di daerah Bani Suef,” bicara Atef.

     “Hebatnya. Boleh saya tahu rahsia kamu menghafaz?”

     “Rahsia saya menghafal adalah berguru dengan datuk saya. Dia mengajar saya membaca dan mempelajari hukum-hukum yang terkandung dalam al-Quran di kampung.”

     “Oh begitu. Kampung kamu pasti indah. Nanti kamu bawalah saya ke sana.”

     “Mesyi(baik).” Atef mengorak senyuman. Lesung pipit jelas terpamer.

      BURUNG-BURUNG angkasa mengepak tinggi membentari dada langit. Terpaan bayu segar dan tipis menguasai suasana daerah Beni Suef.  Berbeda dengan keadaan Bandar Kaherah yang hiruk pikuk dengan bunyi bising; deruan bas, gerusan enjin, dan bunyi hon.

     Beni Suef terletak 115KM ke Selatan Kaherah. Kampung yang terkenal dengan Tasik Qarun dan Oasis Fayyum ini adalah pusat pertanian yang berkembang dari kampung-kampung kecil menjadi satu daerah yang luas. Kawasan ini terkenal dengan kawasan pengeluaran kapas dan industri membuat permaidani.

    Dalam kereta api cabuk itu, aku memandang ke luar jendela dan desah rasaku mulai mengapung kembali. Suara kawan-kawanku di Malaysia masih tergawang-gawang dalam rakaman memori. Membuatku kelu dan bungkam seribu.

     “Fajar, kau yakin ke dapat survive di Mesir nanti. Mak aku pernah melancong ke Mesir sebelum ini dan dia kata orang Arab Mesir ni agresif dan sesetengahnya tidak bermoral tahu. Belajar di Malaysia sahajalah.”

     “Aku datang Mesir, bukan sebab nak melancong dan berseronok. Tapi Mesir adalah bumi para Nabi, para ulama. Aku nak belajar bahasa Arab dan mengutip ilmu sebanyak-banyaknya. Tak kisah betapa sukar dan celaru pun kondisinya,” seteruku. Kawan-kawanku terus terdiam.

    “Fajar.” Atef melambai-lambaikan telapak tangannya, menghentikan buaian lamunan panjang. Kami sudah sampai di stesen Beni Suef.  Dalam gerombolan manusia, aku disambut oleh keluarga Atef yang begitu ramah mesra sekali.

     Atef merupakan anak emas dalam keluarganya. Bapanya, Ammu Muhammed merupakan seorang pengusaha tani di ladang gandum dan menjadi tulang belakang keluarga manakala ibunya, Khatijah sudah meninggalkan dunia semenjak dia kecil.

     Petang yang cukup dramatik itu, Atef membawaku berjalan-jalan di ladang gandum yang berpancawarna. Angin dingin yang berkesiuran membuatkan bulu romaku berdiri tegak mendadak. ‘ Subhanallah. Bilakah lagi dapatku mengaut peluang berharga ini?’

     “Atef,  surah apa yang paling kamu gemari dalam Al-Quran? ” soalku.

     “Surah Maryam. Setiap kali membacanya, kesedihan saya menjadi hilang,” kata Atef.

     Atef membawa Fajar menemui adik perempuannya, Medina. Gadis pingitan itu terlihat mengenakan tudung linen berbelang, digosok dengan raji berserta jubah hitam memanjang. Dia sedang duduk bersimpuh menghadap ke Sungai Nil.

    “Fajar, perkenalkan satu-satunya adik perempuan saya, Medina.”

     “Salam perkenalan.” Medina bangun seraya menundukkan kepala dan birai matanya. Bibir berulas basahnya tersumbang sebuah senyuman.

     Wajahku merah padam dan bertukar malu-malu kucing. Terseret dalam pusaran naluri seorang lelaki yang mudah tergamam dan tertambat hati dengan kecantikan perhiasan dunia. Atef pula menyiku-nyiku diriku yang kekekokaan, “Kenapa hendak malu,” ujar Atef.

     “Kamu semua, mari teman Abi menjala ikan.”  Sekonyong-konyongnya suara Ammu Muhammed sayup-sayup menduga dari tebing sisi titian Sungai Nil. Atef segera menyahut panggilan bapanya.

     Gadis pingitan bernama Medina itu menggelidah kantung tas tangannya dan mengeluarkan  sesuatu berupa senaskah Al-Quran berwarna merah peplum, kemudian dia menghulurkan ke arahku.

      “Selamat datang. Terimalah pemberian tak seberapa dari saya sebagai tanda perkenalan,” lafaz Medina.

     “Terima kasih.” Aku menyisir rambut belahan tengahku lalu menerima pemberian itu dengan hati terbuka. Lantas mengekor Atef bersama beberapa penduduk kampung yang lain.

     “Kamu suka surah apa pula?” soal Atef ketika berada di atas kapal layar kecil milik Ammu Muhammed. Kejora di langit mulai mengengsot turun.

     “Pastinya surah Al-Fajr sebab ia sama dengan nama saya.”

     “Malam esok kamu jadi imam di masjid ya. Saya ingin kamu baca surah itu.” Atef tertawa kecil.

     ‘Apa jadi imam pula? Tidakkkk.’ aku berinerlog sendirian. Menyorok selindungkan kerisauan yang menggulung.

     “Kenapa?” tanya Atef seolah-olah mengetahui isi hatiku.

     “Tak ada apa-apa. Boleh aja jika tak ada keuzuran.” Aku tersenyum pahit.

     Di ruang tamu kediaman serba sederhana itu, terdapat sofa segi empat petak yang disusun rapi, meja bulat terhidang makanan berupa roti fino kismis, ikan mashwi (panggang) yang ditangkap di Nil, dan beraneka helwa manisan. Atef mempersilakan Fajar untuk menyantap hidangan sambil menyulami syai (teh) hijau panas. Kepulan wap tersejat naik melaruti udara. Fajar segera mencapai hawashi atau martabak Mesir yang berintikan daging cincang dan menggetisnya rangup.

      Setelah kenyang, Fajar menyalami dan menguncup tangan datuk Atef , Syeikh Muhenna. Lelaki yang sudah tua renta itu masih berkudrat gagah membimbing kelas talaqqi atau mengaji al-Quran secara percuma. Dia menasihatikan Fajar agar menghabiskan hafalan Al-Quran walaupun umur sudah menginjak dewasa.

     “Tiada apa yang mustahil jika kita bersungguh-sungguh untuk mendapatkannya. Saya percaya kamu boleh menghafaz Al-Quran dan menjadi al-Hafiz dalam masa terdekat.”

     Syeikh Mehenna juga ada menyimak bacaanku. Walaupun bacaanku tunggang-langgang, tetapi beliau setia membetulkan setiap sebutan huruf, hukum dan sedikit alunan taranum. Aku terasa terharu dan air mataku terkadang meleleh tanpa sedar.

     Sebelum tidur,  Atef memasang televesion. Siaran cerita klasik Arab Mesir yang ditayangkan sangat mencuit hati. Kami ketawa berdekah-dekah dan terbahak-bahak hingga bergema ke langit yang ke-tujuh. Tiada siapa yang menghiraukan derai gelak tawa kami.   

     “Apa pengalaman paling pahit sepanjang kamu berada di Mesir?” Kali ini giliran Atef pula menjolok diskusi hangat.

     “Saya masih ingat saat saya disamun oleh sekumpulan Arab di Hayyu Asyir. Subuh itu saya keluar dari rumah Ustaz Firdaus. Pasar-pasar masih belum buka dan saya langsung tak sedar bila ada seorang lelaki bertopi datang dari belakang lalu mencengkam beg saya. Saya tersentak dan cuba merampas kembali tetapi seorang kawannya yang lain menyerang saya dengan sebilah parang dari belakang.”

     “Seterusnya apa yang berlaku?” Atef terpana seperti diterkam ombak ganas.

     “Jadi saya cedera teruk dan tewas dalam pergelutan. Lihat parut ini.” Fajar bangun dari tikar pembaringan dan menyelak baju sejuk yang dipinjam dari Atef.

     “Moga Allah pelihara kamu dan menggantikan apa yang hilang dengan sesuatu yang lebih baik.”

    Dinihari di pelembahan danau Qarun itu, aku duduk bersila menekuni lembaran Al-Quran pemberian Medina, menghafaz kembali surah Al-Fajr sebagai persediaan menjadi imam mahgrib di masjid kampung ini. Atef bersedia mendengar tasmi’ bacaanku.

    Dari beberapa meter, dua orang pegawai polis bertubuh sasa hadir ke pondok kami berada dan menyentuh bahuku. Riak panik mulai menggetar di gigi air muka aku dan Atef. Seorang daripadanya meminta aku memberi penerangan tentang dokumen peribadi. Namun, aku gagal mengemukakan pasportku dan kemungkinan akan ditahan di atas dakwaan pendatang asing.

     “Tolong jangan bawa sahabat saya ke penjara. Dia seorang Al-Azhari.” Atef merayu dan mencarik-carik baju pegawai polis yang sedang menggari tanganku. Atef kemudian digasak sehingga tersungkur. Aku terkemam sejeda.

     “FAJARRRRRRR.”   

     Aku terbangun dari mimpi. Kesejukan. Masih terngiang-ngiang suara Atef yang melaungkan namaku. Di kamar penjara, bau tengik dan hanyir menyinggahi rongga hidungku. Dalam keadaan suram itu, aku meraba-raba mencari Al-Quran yang diberikan oleh Medina. Setelah bertayamum, aku menyambung bacaan. Malam ini sepatutnya aku akan  mengimamkan solat di Masjid Beni Suef.

     Akulah yang dungu. Kerana  kedegilan dan ketegaran sanubariku, aku menyembunyikan pengetahuan daripada Atef yang pasportku telah hilang ketika dirompak dua bulan lalu. Aku minta maaf Atef. Aku hanya ingin bersahabat denganmu.

     Dua minggu aku bersuluk di dalam kurungan besi, Al-Quran menjadi penemanku sepanjang masa. Aku berjaya menghafaz satu per tiga dari juzuk Al-Quran. Kawan baikku, Ustaz Firdaus sudah termengah-mengah menanti di depan pejabat polis.

    “Aku sudah memberi tahu pada keluarga kamu. Nanti mereka akan menanggung kos perjalanan pulang ke Malaysia untuk membuat pasport baru.”

     Di rumah, Atef sudah tiada. Barangnya pun sudah dikemaskan. Aku cuba menghubunginya untuk memberitahu yang aku sudah banyak menghafaz Al-Quran dan bertekad akan menghabiskannya. Tetapi segalanya hambar. Perlahan-lahan air mataku menitik dan turun membanjiri pipiku. Aku juga mendengar bahawa dia sudah berhenti belajar. Adakah disebabkan tak mampu menanggung rasa serbasalah di atas penangkapanku?

     SEMBILAN tahun berlalu pantas. Fajar telah berjaya menjadi seorang pensyarah bahasa Arab di tanah air tercinta. Minggu ini dia mempunyai tugasan di Mesir dan berhasrat untuk menjenguk Atef di Beni Suef. Khabar orang kampung, dia kini bekerja sebagai guru agama dan membangunkan sekolah Tahfiz Al-Fajr. Beliau juga telah mendirikan rumah tangga dan mempunyai seorang cahaya mata.

     Tak pernah aku menjumpai seorang pemuda Arab Mesir setulusnya. Dagunya kini sudah berjambang kemas saat aku menemuinya di hadapan Sungai Nil. Kami berpelukan dan aku memberitahunya bahawa aku sudah berjaya menghafaz seluruh juzuk al-Quran. Cuma aku masih belum diberi peluang untuk bernikah. 

     “Kamu tahu Fajar, adik saya Medina, sudah lama menanti kamu.”

https://www.facebook.com/plugins/post.php?href=https%3A%2F%2Fwww.facebook.com%2Fohmyegypt%2Fposts%2F763913633766696&width=500“>-Pemenang Saguhati Pertandingan Menulis Cerpen Oh My Egypt 2016

 

nil-bei-luxor.jpg

Advertisements