Minggu lepas saya menghadiri kuliah Tasawwuf di Universiti Al-Azhar. Sebenarnya perasaan gugup untuk bertanya di dewan masih menyala-nyala dalam diri sedangkan pelajar-pelajar yang lain menjulang-julang nak bertanya. Antara soalan yang belum terlunas adalah tentang manhaj tasawwuf Ibn ‘Arabi dan kritikan terhadapnya ketika pensyarah membincangkan teori perkembangan Tasawwuf pada era Tab’in.

Tapi saya cari pendekatan yang lain dengan membeli membeli beberapa buku-buku rujukan tentang aliran Wahdat al-Wujud ini tetapi  yang terfahami hanyalah sedikit.

Alhamdulillah, persoalan ini terjawab apabila saya menghadiri kelas akidah kupasan kitab Luma’ karya Imam Abu Hassan Al-Asya’ari tentang sifat nafsi bagi Allah iaitu ‘Wujud’ dan saya mula faham apakah yang ditajdidkan ‘Ibn Arabi dalam rumus faham Tasawwufnya.

“Sesungguhnya yang dinamai dengan ‘Allah’ atau ‘Dia’ adalah yang tidak terikat oleh alam (la tuqayyiduhu al-akwan), dan bagi-Nya kewujudan yang sempurna (man lahu al-wujud al-tam).” – Ibn ‘Arabi, al-Futuhat, bab 142.

Ibn ‘Arabi cuba memperbaharui elemen tasawwuf untuk mengenal Allah melalui sifat Allah yang Wujud secara mutlak. Jika tokoh sufi wanita Rabi’atul al-Adawiyah menekankan aspek zuhudiah dan rangkulan cinta yang Suci dalam aliran Tasawwufnya, ternyata Ibn ‘Arabi menekankan aspek wujudiah, iaitu menerjunkan diri dalam lautan tauhidik atau sifat Allah yang Wujud tanpa serupa. Kemutlakan Tuhan yang hakiki memungkinkan berlakunya ‘pernyataan Diri yang Maha Benar’ (tajalli al-haqq) pada setiap penzahiran dan pada waktu yang sama, Dia kekal berada di dalam keadaan tanzih. Ini kerana kemutlakan itu adalah sifat bagi Zat-Nya yang tidak akan terlucut dari-Nya selama-lamanya. Kerana itu kita tak boleh rasa Allah itu wujud sama macam alam dan nmanusia wujud atau mentashbihkan-Nya. Boleh jatuh syirik nanti.

Firman Allah yang bermaksud : “ Tiada sesuatupun yang menyerupai Allah.” (QS. Asy Syuura : 11)

Sebagai pelajar akidah dan falsafah, apabila kita tidak meletakkan konsep wahdatul wujud ini dalam hati, kita akan senang tersyirikkan Allah apabila mempelajari falsafah. Falsafah adalah dunia yang penuh dengan jarum peniti halus, dan apabila tersalah langkah maka ia boleh merosakkan Akidah. Contohnya apabila membahaskan aspek indologi atau Hinduisme. Sangat bahaya apabila kita tidak mempunyai akidah tauhid yang kuat untuk mengkajinya.

Menyamakan akidah Panteisme atau Tuhan wujud dalam bentuk penyatuan kosmos sangatlah jauh beda dengan akidah Wahdat al-Wujud ini. Perkara seperti ini berlaku apabila golongan mulhid, atheis, muktazilah mahupun golongan yang meninggalkan syariat cuba menaburi doktrin Panteisme dalam akidah Wahdat al-Wujud.  Disebabkan golongan inilah, para pengkritik Wahabiyah cuba mengambil peluang untuk mengotorkan rumus faham Ibn ‘Arabi, dan akhirnya ia membantutkan usaha pemurniaan Tasawwuf sebagai ajaran yang jernih dari lintasan-lintasan mahupun rasional akal.

“Segala puji bagi Allah yang disifatkan dengan Wahdat al-Wujud, mengikut apa yang dikenali melalui mu‘ayanah dan shuhud dan bukannya sebagaimana yang difahami oleh orang yang aties (ahlu al-ilhad) dan zindiq serta ahli ingkar dan juhud. Kerana setiap sesuatu jika dilihat dari pihak dirinya ‘Tiada’ serta ‘lenyap’ (ma‘dum mafqud), adapun sesungguhnya ianya beroleh ‘Ada’ dengan Wujud Allah.” – al-Nablusi.

Sebenarnya ada banyak lagi hendak dikongsikan. Tapi sekarang dah nak mula kelas jadi nanti saya sambung pula pendapat-pendapat tokoh muktabar lain seperti al-Sirhindi, al-Nursi dan lain-lainnya tentang Wahdat al-Wujud. Nantikan ya.

ibnarabi

 

 

 

Advertisements