Saya dilingkari oleh senior berbangsa Arab yang majoritinya adalah pelajar lulusan Al-Azhar.  Alhamdulillah merekalah tempat saya menyua jika banyak persoalan membungkam dalam akal. Saya sudah tidak peduli dalam soal menuntut ilmu walaupun saya masih lemah berbahasa Arab. 

Selepas solat Jumaat,  saya diajak oleh seorang senior bernama Sayyid yang sukarela membantu saya menekuni dan lebih mengerti buku tebal Tauhid. Sejak kecil saya sudah diajar tentang sifat-sifat Ketuhanan tetapi apabila disoal kembali secara terperinci gaya seorang Al-Azhari,  betapa cenggeng dan rapuhnya hujah yang diberi tentang ilmu Tauhid atau nama lainnya ilmu Usuluddin,  ilmu kalam, ilmu akidah,  ilmu Fiqh Akhbar ini.
Barulah saya dapat tahu terdapat kaedah yang digunakan ahli teologi dalam menetapkan satu hukum tauhid (dipanggil hukum akli),  dan hukumnya terbahagi kepada tiga iaitu wajib,  harus dan mustahil. Setelah mengetahui alangkah kerdil diri kerna ilmu yang ada hanyalah kosong.  Ya,  saya ini ibarat ranting yang daunnya kekeringan. 

Jadi sebenarnya saya tak layak menulis lagi secara autoriti tentang perbahasan Tauhid namun saya suka untuk berkongsi pengetahuan dan pengajaran yang saya terima hari ini. Pernahkah anda membaca puisi saya tentang Falsafah sebelum ini? Sebenarnya saya belum meyakini malah terasa sangsi tentang ilmu Falsafah kerana saya belum menguasai ilmu Tauhid, Mantik dan Nahu Saraf dengan baik. 

Kerana belajar Falsafah tidak menggunakan hukum syariat apatah hukum adat tetapi 100% menggunakan hukum akal. Jadi ilmu mantik membantu dalam menghukum sesuatu kalam sama ada hukumnya diterima akal, dipertengahan atau tertolak. Ulama kalam Asya’ari dan Maturidi sudah menyusun hujah-hujah akliah tentang Ketuhanan,  Kenabian dan alam Ghaib tetapi para orientalis seperti Muktazilah ,Atheis dan pemikiran janggal yang lain cuba menafikan sekeras-kerasnya hujah ulama ahli sunnah wa al-Jamaah. 

Manakala Nahu Sorof pula tujuannya agar seseorang tahu meletakkan kalam objek dan subjeknya dengan tepat. Setelah terkumpulnya objek dan subjeknya,  barulah terhasil sebuah hukum. 

Jadi sebelum belajar Falsafah pastikan anda sudah menguasai ilmu Tauhid, Mantik dan Nahu Sorof.  Dunia intelektual memaksa ahli agama untuk keluar daripada kepompong tipikal malah menawarkan diri berada di platform jabatan-jabatan tertingi supaya dapat mempertahankan negara dan masyarakat daripada pihak yang cuba mengkritik sistem sosial dan agama kita. Malah mendoktrin faham sekularisme,  liberalisme dan aliran -aliran falsafah batil yang lain. 

Advertisements