Syeikh Taifur bin Isa al-Bustami,  Abu Yazid (wafat 261 H/ 874 M) ialah seorang ahli sufi yang masyhur di Parsi sekitar abad ke-3 hijrah.  Beliau disebut-sebut sebagai ahli sufi yang pertama kali memperkenalkan faham fana’ dan baqa’. Sebelum beliau mendalami tasawuf, beliau menuntut ilmu fiqh terutama mazhab Hanafi.  Beliau memperingatkan manusia agar tidak terpedaya dengan seseorang sebelum melihat bagaimana dia melakukan perintah dan meninggalkan larangan Tuhan, menjaga ketentuan-ketentuan dan melaksanakan syari’at-Nya. 

“Kalau kamu melihat seseorang mempunyai karamah yang besar-besar, walaupun dia mampu terbang di udara, maka janganlah kamu tertipu, sebelum kamu lihat bagaimana dia mengikuti perintah syari’at dan menjauhi batas-batas yang dilarang syaria’t.”

TERUSIR

Penduduk di kota kelahirannya tidak mengizinkan beliau tinggal di negerinya menyebabkan beliau terusir ke Biston sehingga sampai wafatnya.  Abu Yazid tidak meninggalkan karangan atau tulisan tetapi beliau terkenal dengan ucapan-ucapannya.  

Setelah beliau wafat,  para sufi masih banyak mengunjungi makam al-Bustami,  seperti al-Hujwiri. 

PERKEMBANGAN ALIRAN TAREKAT THAIFURIAH

Pengikut al-Bustami kemudian mengembangkan ajaran tasawuf dengan membentuk suatu aliran tarekat bernama Taifuriyah yang dinisbahkan kepada Taifur al-Bustami. Pengaruh Taifuriyah kemudian berkembang dan mempengaruhi dunia Islam seperti Zaousfana’, Maghribi ,Chittagong, Bangladesh,  Asia Tenggara dan antara tokoh yang mempelopori faham tasawwuf i’tiqad ahlu sunnah wa al-Jamaah beliau ini ialah Ibn ‘Arabi dan Hamzah Fansuri yang terkenal dengan faham Wahdatul Wujud. 

Makam Abu Yazid al-Bustami terletak di tengah kota Biston dan sentiasa diziarahi oleh masyarakat.  Sultan Moghul, Muhammad Khudabanda memberi kubah pada makamnya pada tahun 713 H/ 1313 M atas saranan penasihat agama sultan bernama Syeikh Syafaruddin. 

INTI TASAWUF AL-BUSTAMI

Ahli sufi berpendapat bahawa terdapat dua aliran tasawuf.  Pertama,  aliran sufi yang pendapatnya dipertengahan dan selalu merujuk kepada Al-Quran dan al-Sunnah atau dengan kata lain tasawuf yang mengacu kepada syari’at dan para sufinya adalah ulama terkenal serta tasawufnya didominasi oleh ciri-ciri normal. Contohnya Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali, Imam Zakariyya Al-Khandahlawi, dan Imam Abdul Wahhab al-Sya’rani. 

Kedua adalah aliran sufi yang terpesona dengan keadaan-keadaan yang sering mengucapkan kata ganjil yang terkenal dengan nama syatahat,  iaitu ucapan yang dikeluarkan seorang sufi ketika berada di gerbang ittihad (fana’ fillah).  Mereka menumbuhkan konsep manusia melebur dengan Allah melalui ucapan-ucapan dan syair-syair. Misalnya Rabi’atul Al-Adawiyah,  Jalaluddin Rumi, Ibn ‘Arabi dan Hallaj. 

Di antara sufi yang berpendapat bahawa manusia dapat bersatu dengan Tuhan adalah Abu Yazid al-Bustami yang sekaligus dipandang sebagai pembawa faham Al-Fana, Al-Baqa’ dan Al-Ittihad.

Al-Fana’ beerti binasa,  berbeza dengan al-Fasad iaitu rosak.  Menurut ahli sufi, fana’ adalah hilangnya kesedaran peribadi dengan dirinya sendiri atau dengan sesuatu lazimnya digunakan pada diri.  Fana’ juga bererti bergantinya sifat-sifat kemanusiaan dengan sifat-sifat ketuhanan atau binasanya sifat-sifat tercela manusia . Jika difaham melalui psikologi, dahulunya dia seorang maknyah, penagih dadah, peminum arak dan lain-lain tetapi setelah mendapat hidayah dan dia selalu mengingati Allah, maka Allah hancurkan sifat-sifat tercela dengan sifat-sifat mulia-Nya seperti penyayang, berkasih-kasih dan hilangnya rasa untuk menjadi seperti sebelumnya. 

Baqa’ pula bermaksud kekal,  kesan tempias setelah terjadinya fana’.  Menurut kaum sufi, baqa’ adalah kekalnya sifat-sifat terpuji Tuhan dalam diri manusia.  Kerana sifat-sifat kemanusiaan yang didorong oleh hawa nafsu telah lenyap maka yang kekal dan tinggal adalah sifat Ketuhanan.  Bukanlah bermakna manusia menjadi Tuhan tetapi mencontohi sifat-sifat Tuhan. Seperti ungkapan ahli sufi :

“Tasawuf itu adalah mereka yang Fana’ dari dirinya dan Baqa’ dengan Tuhannya,  kerana kehadiran mereka bersama Allah.”

Hal ini dikukuhkan melalui kisah Nabi Musa ketika Bukit Thursina terbelah dan meletup,  Nabi Isa yang difana’kan Allah di langit, dan begitu juga terjadi kepada pemuda-pemuda Ashabul Kahfi. 

Menurut Abu Yazid al-Bustami, manusia hakikatnya se-esensi dengan Allah, dapat bersatu dengannya apabila dia mampu melebur eksistensi keberadaan-Nya sebagai suatu peribadi sehingga tidak menyedari dirinya. 

Menurut al-Qusyairi, Fana’nya seseorang dari dirinya dan makhluk lain terjadi dengan hilangnya kesedaran tentang dirinya dan makhluk itu. Sebenarnya dirinya dan makhluk lain tetap ada tetapi dia tidak sedar lagi pada mereka dan dirinya.

Fana’ dan Baqa’ merupakan jalan menuju perjumpaan dengan Tuhan.  Hal ini sejalan dengan Firman Allah SWT dalam surah Al-Kahfi ayat 110 yang memberi isyarat Allah SWT memberi peluang kepada manusia untuk menemui-Nya dengan lebih dekat. 

Firman Allah yang bermaksud :

“Barangsiapa yang mengharapkan perjumpaan dengan Tuhannya,  maka hendaklah dia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah mempersekutukan seorang pun dalam beribadah kepada-Nya. ” (Q. S.  al-Kahfi,  18: 110)

Inti tasawuf Fana’ dan Baqa’ ini juga dapat diilhami dari isyarat ayat yang berbunyi :

“Semua yang ada di bumi ini adalah binasa.  (26) dan yang kekal wajah Tuhanmu yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan (27)” (QS. Al-Rahman) 

DEDUKSI

Mengenali tokoh ini membuatkan saya semakin berminat untuk mengkaji dengan lebih mendalam aliran tasawwuf.  Walaupun saya tahu ada yang tidak faham tetapi sekurang-kurangnya ilmu tasawwuf boleh berkembang dengan lebih pesat pada era moden yang lebih mencabar ini. Kerana terlalu ramai sarjana yang mudah menyelewengkan malah menuduh ahli sufi sebagai kafir (berlaku pada sahabat saya dari Kuwait yang berpindah ke Mesir untuk mendalami ilmu tasawwuf). Akhir pesan, janganlah belajar tasawwuf sendiri-sendiri sebab gurunya adalah syaitan. Tetapi belajarlah dengan guru-guru mursyid yang sebenar (gembira sangat sebab banyak pengajian Tasawuf di Mesir seperti kelas Habib Ali Al-Jifri, Syeikh Muhanna , Syeikh Fathi Hijazi dll). Mari sedekahkan Al-fatihah kepada murabbi Syeikh Abu Yazid Bustami yang telah berusaha menyambungkan silsilah ajaran yang pernah diamalkan oleh Rasulullah SAW diikuti para sahabat-sahabat baginda beserta generasi seterusnya. 

-Sumber Makalah AL FANA | AL BAQA | AL ITTIHAD oleh Muhammad Zuhirsyan

Advertisements