Mesir adalah salah satu destinasi utama para pelajar Malaysia menimba ilmu keislaman. Ia juga menjadi teratak pelancongan tersohor kerana penuh dengan tinggalan sejarah dan peradaban yang berharga. Contohnya monumen-monumen dan kesan-kesan sejarah peninggalan peradaban Firaun, Romawi, dan peradaban Islam.
Menjejakkan kaki ke Mesir bukanlah satu perkara yang mustahil kerana saya juga bukan berasal dari keluarga yang berada. Akan tetapi kesungguhan dan cinta akan bumi yang termaktub dalam Al-Quran ini mendorong saya mencari jalan untuk ke sini. 

Di setiap tempat-tempat yang bersejarah yang saya lewati di Mesir, terkandung pelbagai perasaan, pemikiran, suasana, latar, masyarakat, episod menarik dan nilai untuk diamati bersama.

Allah SWT berfirman:

Maka ketika mereka (Nabi Yaakub dan sekeluarganya) masuk (ke Mesir) menemui Yusuf, Yusuf segera menyambut serta memeluk kedua ibu-bapanya, sambil berkata: “Masuklah kamu ke negeri Mesir, InsyaAllah kamu berada dalam keadaan aman.” (Surah Yusuf : Ayat 99)

Semoga dengan sedikit perkongsian lokasi-lokasi bersejarah di Mesir, pembaca dapat mengembara dan mengambil permata hikmah bersama-sama:

1. SEMENANJUNG SINAI

Semenanjung Sinai adalah satu lokasi berbentuk segitiga yang terletak di antara laut Mediterranean dan Laut Merah. Antara tarikan utama di sini adalah Bukit Thursina, Telaga Nabi Musa dan Nabi Ayyub, dan banyak lagi. 

Tentang Bukit Thursina atau Jabal Musa, bukit ini berketinggian 2285 meter dan menyimpan tiga sejarah agama iaitu agama Yahudi, Kristian dan Islam. 

Allah SWT berfirman bermaksud: 

Dan ingatlah ketika kami mengambil perjanjian setia kamu semasa kami angkatkan bukit Thursina di atas kamu sambil berfirman, terimalah Taurat yang telah kami kurniakan kepada kamu (serta amalkanlah) dengan bersungguh-sungguh dan ingatlah apa yang tersebut di dalamnya, supaya kamu bertaqwa.” (Surah Al-A’raf:142-155)
Pengalaman menaiki bukit ini begitu mengasyikkan dan memberi kesan yang sungguh mendalam terutamanya mengetahui bahawa bukit ini menjadi laluan para sahabat dan panglima Islam yang masyhur iaitu ‘Amru Al-As ketika membawa Islam ke bumi Mesir. 

 

2.PIRAMID GIZA

Terdapat tiga piramid terkenal di Giza iaitu Piramid Cheops, Chepren dan Mycerinos. Piramid ini terbina pada 2690 SM oleh pemerintah Raja Cheops. Menurut cerita penduduk Mesir, piramid ini dibina oleh hamba-hamba abdi istana bagi menyimpan mayat-mayat dan harta karun Firaun. 

Apakah yang menarik melihat piramid atau makam firaun ini? Jika diteliti piramid menceritakan pada saya tentang betapa buruknya azab yang ditimpakan Alah kepada kaum firauan yang mengaku tuhan dan pembesarnya yang merangka pembinaan piramid iaitu Imhotep atau Haman.

  

Firman Allah SWT: “Dan berkata Fir’aun: ‘Hai pembesar kaumku, aku tidak mengetahui tuhan bagimu selain aku. Maka bakarlah Hai Haman untukku tanah liat kemudian buatkanlah untukku bangunan yang tinggi supaya aku dapat naik melihat Tuhan Musa, dan sesungguhnya aku benar-benar yakin bahwa Dia dari orang-orang pendusta.” (QS. Al-Qashash’ 28:38). 
Lihatlah betapa angkuhnya firaun atau simbolik kepada pemerintahan yang sombong kepada Allah dan akhirnya Allah SWT timpakan pelbagai bencana.
“Maka Kami kirimkan kepada mereka taufan, belalang, kutu, katak dan darah sebagai bukti yang jelas, tetapi mereka tetap menyombongkan diri dan mereka adalah kaum yang berdosa.” (QS. Al-A’raf : 132)

3. MATROUH SIWA

Marsa Matrouh adalah sebuah ibu kota yang terletak di kawasan pantai Mediteranean menuju ke barat Mesir. Manakala Siwa pula adalah kota yang bersempadan dengan Libya dan berdekatan dengan Matrouh. Di sini terdapat Pantai Agiba yang terkenal dengan pantai tujuh lapisan warna. Sesiapa yang melihat keindahannya pasti berasa takjub akan alam yang diciptakan Allah SWT seraya dapat menghampirkan diri kepada-Nya.

 

Rasulullah saw bersabda:, “Sesungguhnya Allah maha indah dan mencintai keindahan.
Siwa pula terkenal dengan tempat menarik seperti Tasik Garam, Kubu Iskandar, dan Kolam Cleopatra. Menurut catatan sejarah, Siwa dihuni oleh masyarakat Arab yang paling payah menerima Islam akan tetapi setelah memeluk agama Islam mereka menjadi golongan yang paling teguh mempertahankan ajaran.   
4. QAL’AH SULTAN SALAHUDDIN AL-AYYUBI

Qal’ah atau Kubu Salahuddin Al-Ayyubi terletak berhampiran medan Saiyiddah Aisyah. Sejarah mencatatkan kejayaan terbesar Sultan Salahudin Al Ayubi dalam mengalahkan tentera Salib pada tahun 1171M. Baginda memerintah selama 22 tahun di samping membina kubu pertahanan ini yang mana melindungi kota Kaherah dan kota lama al-Fustat dari serangan musuh.

Selepas beliau meninggal pada tahun 1193 di Damsyik, Syria, pewaris-pewarisnya telah memerintah Mesir sehingga tahun 1250.

Sultan Salahudin Al Ayubi berpesan kepada anak-anaknya:

 “Jangan kamu menumpahkan darah, kerana apabila darah telah terpercik tidak ada yang tertidur.”

Banyak kesan sejarah yang terdapat di kubu ini dan pengunjung yang tiba merasakan seolah-olah berada di zaman empayar Islam. Di bahagian utara kubu ini, terletaknya Masjid Muhammad Ali yang diperbuat daripada mar-mar dan granit. Masjid ini mempunyai persamaan dengan seni bina dan ukiran masjid di Turki.  

5 MAQAM PARA NABI, SAHABAT DAN PARA  SOLIHIN

Terdapat banyak maqam para-para nabi dan para solihin di bumi Mesir. Antaranya maqam Saidina Hussein, Nabi Danial, Abu Darda’, Luqmanul Haqim, Nabi Soleh dan Nabi Harun, Ibn Athai’illah, Imam Syafi’e, cucu-cucu Nabi dan ramai lagi.
Antara makam yang terkemuka di Mesir adalah makam Pahlawan Bahsana. Makam ini merakamkan kisah perjuangan para sahabat dan keluarga Nabi serta para tabi’ tabi’in yang mati syahid semasa menyebarkan ajaran Islam di bumi Mesir.

Sabda Rasulullah SAW:

 “Sebaik-baik umat manusia adalah generasiku (sahabat), kemudian orang-orang yang mengikuti mereka (tabi’in) dan kemudian orang-orang yang mengikuti mereka lagi (tabi’ut tabi’in)” (HR. Bukhari dan Muslim).

Ketika saya melewati tempat ini, Dr. Samir Al-Hefnawy, seorang penulis buku menceritakan secara terperinci perjalanan jihad dan kesan-kesan peninggalan setiap pemilik makam seperti makam perajurit mujahidah Islam, Khaulah al-Azwar, Ibnu ‘Ubadah Ibn Somit, Sayyidah Ruqqayah, Ziyad Ibn Abi Sufyan, dan para syuhada yang lain. Ia menambahkan rasa cinta kepada sahabat-sahabat Rasulullah SAW.

6. BIBLEOTHECA ALEXANDRINAALEXANDRINA

Allah SWT berfirman:

“Bacalah dengan (menyebut) nama Rabbmu Yang menciptakan, Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Rabbmulah Yang Maha Pemurah. Yang mengajar (manusia) dengan perantaran qalam (pena). Dia mengajar kepada manusia apa yang tidak diketahuinya.” (QS. Al ‘Alaq: 1-5).  Wahyu pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW adalah perihal suruhan membaca. Oleh itu untuk mewujudkan suasana membaca, perpustakaan menjadi lokasi terbaik untuk meneguk segenap ilmu pengetahuan.

Di Mesir, terdapat sebuah perpustakaan pertama dan terbesar di dunia didirikan pada tahun 323SM dikenali sebagai Bibliotheca Alexandrina atau Perpustakaan Iskandariah. Perpustakaan ini bertahan selama berabad-abad dan memiliki koleksi 700.000 gulungan papyrus. Simbol peradaban Mesir ini telah melahirkan ilmuwan besar seperti Archimides, Euclide, Kalimakhus, Hypatia, Apollonius dan sebagainya. 

Setibanya di dalam perpustakaan ini, saya tertarik dengan pameran-pameran bersejarah yang dipamerkan seperti mesin percetakan buku pertama di Mesir terbitan Bulaq Press, seni kaligrafi tulisan Arab dan beraneka galeri yang menceritakan perihal sejarah Mesir.  

7.SUNGAI NIL

Sungai Nil cukup popular kerana menjadi sungai yang terpanjang di dunia. Ramai yang menyinggah di sini untuk aktiviti menaiki bot dan kapal sambil menghirup angin sepoi-sepoi bahasa dan menatap hiasan-hiasan lampu neon pada malam hari.

Sungai ini menyimpan nilai sejarahnya tersendiri semasa zaman sebelum kedatangan Islam, masyarakat setempat akan mengorbankan seorang gadis ketika sungai Nil menjadi kering ketika bulan Bun’ah. Adat ini berterusan sehingga berita ini sampai pada Khalifah Umar Al-Khattab lalu beliau menulis sekuncup surat. 

“Dari hamba Allah Umar Amirul Mukminin kepada Nil Penduduk Mesir, adapun selepas itu, seandainya engkau mengalir sebelum ini dengan kehendak dan urusanmu, maka engkau tidak perlu mengalir. Kami tidak berhajat kepadamu. Sebaliknya jika engkau mengalir dengan kehendak dan urusan Allah Al-Wahidul Qahhar, maka aku memohon ke hadrat Ilahi agar mengalirkanmu.”

 Surat ini dicampakkan ke dalam Sungai Nil oleh ‘Amru Al-As dan dengan izin Allah, Sungai Nil mengalir seperti biasa lantas memecahkan tradisi yang salah di sisi agama Islam. Sehingga sekarang Sungai Nil tidak pernah kering malah memberi rahmat kepada seluruh penduduk Mesir. 

8. BENTENG ASYRAF QAIT BAY 

Benteng ini dibangun oleh Sultan dari dinasti Mamluk, Sultan Al Asyraf An Nashr Syaifudin Qaitbay, berfungsi untuk menahan serangan yang akan masuk ke Mesir.

Qaitbay adalah sultan ke 18 dinasti Mamluk yang berkuasa antara tahun 1468 – 1496 M. Sebelum menjadi sultan, Qaitbay adalah seorang hamba yang dibeli oleh Al-Asyraf Berbay dan dimerdekakan oleh Sultan Djaqmaq.

Beliau mempunyai kedudukan penting dintaranya sebagai Panglima Angkatan Darat pada pemerintahan Sultan Tamar Bugha. Beliau dikenal sebagai pencetus idea projek arkitek terbesar di berbagai wilayah Islam, di Mekkah, Madinah, Palestin, Damaskus, Allepo, termasuk Alexandria dan Kaherah.

Melawat ke sini membuatkan saya semakin mendalami kejayaan pemerintahan kaum Muslimin yang benar-benar menjalankan Islam sebagai pedoman hidup dari segi hak kemanusiaan, kejuruteraan, ilmu dan banyak lagi.

9. PANTAI MONTAZA DAN ISTANA RAJA FAROUQ

Pantai Montaza adalah sebuah tempat kunjungan raja-raja Mesir di musim panas sebelum berlakunya revolusi penggulingan kuasa beraja. Di dalamnya terdapat Istana Raja Farouq, raja terakhir yang memiliki dan memerintah Mesir. 

Seni bina istana ini sangat unik dam halus namun tersirat sejuta maksud terutamanya pada besi-besi dan tombak-tombak yang tajam di setiap menara tersebut. Ia ditafsirkan sebagai lambang kezaliman semasa pemerintahannya. 

Ia mengingatkan kita tentang sebuah hadis Rasulullah SAW:

“Akan muncul pemimpin-pemimpin yang kalian kenal, tetapi kalian tidak menyetujuinya.Orang yang membencinya akan terbebaskan (dari tanggungan dosa). Orang yang tidak menyetujuinya akan selamat. Orang yang rela dan mematuhinya tidak terbebaskan(dari tanggungan dosa).” (Hadis Sahih Riwayat Muslim)

Namun Allah SWT lebih tahu kebenarannya.

Menikmati permandangan dan nilai sejarah di sini, saya berasa sangat bersyukur kerana masih mempunyai Sultan yang memerintah di tanah tumpah kelahiran, setia dan sentiasa menjaga kedaulatan serta keamanan negara.

10. TAMAN AL-QANATIR
Menunggang kuda adalah sukan yang digemari oleh Rasulullah SAW. Untuk merealisasikannya, terdapat sebuah lokasi bernama Taman Al-Qanatir iaitu taman berkuda yang terletak di Kaherah. Di taman ini, kita kami mempelajari asas menunggang kuda dengan harga berpatutan sambil menghayati ukiran seni bina Khalifah Uthmaniah.

Seorang sasterawan Mesir era Uthmaniyah, Ahmad Muharram Afendi pernah menukilkan syair tentang taman ini.
Adakah ini Taman Qanatir yang unik mencipta keindahan, Ataukah ia suatu tempat perkuburan akhlak?
Syair ini menceritakan betapa Taman Qanatir menjadi simbol keunikan yang menyerlah dan meninggalkan sejarah berharga pada era lalu. Sangat menyeronokkan.

11. MASJID AL-AZHAR

Masjid Al-Azhar adalah Pusat keilmuan Islam tertua di dunia. Masjid ini dinamakan dengan Al-Azhar bersempena nama anak kesayangan Rasulullah SAW iaitu Saidatina Fatimah Zahra RAH.
Terlalu banyak sumbangan Al-Azhar kepada dunia seperti menghasilkan tokoh ulama dan ilmuan, memelihara pusaka islam dan Arab, menyatupadukan ummah dan banyak lagi. Ramai ulama keluaran Al-Azhar di antaranya Imam As-syafie, Imam Ghazali dan Imam Ibn Hajar Al-Haitami.

Sebuah Syair menggambarkan kepentingan Al-Azhar nukilan Raja Penyair Mesir, Ahmad Syauqi berbunyi:

Aku bersumpah! Kalau tidak kerana Al-Azhar

Nescaya tiada tinggal seorang lelaki pun yang boleh membaca dan mengerti kitab

Dia memelihara agama buat satu tempoh yang lama

Berjalan membebaskan habuan dunia

Namun ia tidak memiliki emas sebagai habuan.

12. MASJID  ‘AMRU AL-AS

 
Singgah sahaja di Masjid ini, saya berasa sungguh kagum dengan panglima agung Islam iaitu ‘Amr Al-As. Ketika pertama kali beliau menjenjakkan kaki di Mesir, beliau mendirikan Masjid ini bersama bala tenteranya pada tahun 19H/640M. 

Masjid ini adalah masjid pertama di Mesir dan di benua Afrika. Khalifah Umar Al-Khattab memberi tanggungjawab besar kepada ‘Amru Al-As untuk membina masjid ini apabila tiba di Mesir dengan tenaga kerja yang lebih 60 orang sahabat Rasulullah SAW.

Pada peringkat awal, Imam As-Syafi’e memulakan pengajiannya di sini dan masjid ini menjadi Pengajian Tinggi Islam pada zaman pemerintahan Al-Aziz Billah sebelum aktiviti keilmuan berpindah ke Masjid Al-Azhar.

Sebagai penutup, terdapat banyak lagi tempat-tempat bersejarah yang belum sempat saya lawati seperti di Luxor, Asyut, Ismai’liyah, dan Aswan. Namun, Insya-Allah mudahan sedikit perkongsian perjalanan ini mengingatkan tentang sejarah umat Islam dan kisah-kisah nabi yang unggul seketika dulu. Kembaralah sejauh-jauhnya demi melihat dunia ini kerana Allah berfirman:
“Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu mudah digunakan, maka berjalanlah merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah; dan kepada Allah jualah (kamu) dibangkitkan hidup semula.” (Al-Mulk 15)

Advertisements