Kebahagiaan saya ialah apabila dijodohkan dengan seorang guru yang cukup mendalam dan luas pengetahuannya dalam bidang Tasawuf. Terkadang apabila ingin menulis tentang Tasawuf, terasa taraf ilmu diri ini sangat jauh beribu-ribu batunya dibandingkan dengan para guru yang sudah bergelar Mursyid atau pemimpin yang telah layak menjadi ahlinya. Apabila ada masalah melibatkan fiqh, maka saya akan merujuk kepada fuqaha’ yang mahir dalam bidang hukum, begitu juga masalah melibatkan akidah, saya akan merujuk kepada ahli-ahli kalam. Kiranya apabila terdapat masalah dalam bidang tasawuf, maka rujukan terdekat ialah ahli-ahlinya, kata-kata yang keluar dari mulut ulama’ tasawuf itu sendiri.

Asal perkataan Tasawuf atau Sufi menurut Dr. dalam kelas kami terbahagi kepada lima pandangan:-

#1

– Perkataan Sufi berasal dari kalimah Yunani yang membawa maksud Bijaksana dan Zuhud. Akan tetapi pendapat ini tidak tepat malah tidak diterima kerana perkataan sufi itu terhasil dalam lingkungan orang-orang Arab sebelum aktiviti penterjemahan ilmu-ilmu asing ke dalam bahasa Arab giat berkembang.

Yang dinamakan ‘Sufi’ Menurut Imam As Sahuradi Rahimahullah merangkumi nama-nama yang saling berkait rapat. Nama-nama tersebut ialah : Abraran (orang yang baik), Muqarabbin (orang yang dekat), orang yang sabar, orang yang benar, orang yang selalu mengingati Allah SWT, dan orang yang mencintai-Nya.

Adakah istillah tasawuf dan sufi ada pada zaman Rasulullah dan adakah baginda mengamalkan Tasawuf?

Nabi Muhammad SAW dan para sahabatnya ialah pengamal ilmu Tasawuf. Akan tetapi kalimah sufi masih belum terkenal pada zaman Rasulullah SAW dan generasi awal kerana semua kegiatan Tauhid, Fiqah, Tasawwuf yang dijalankan oleh sahabat terus merujuk kepada Nabi Muhammad SAW. Tetapi setelah Rasulullah wafat, para sahabat dan tabi’in melakukan ijtihad dalam bidang tasawuf supaya umat Islam dapat merujuk kepada mereka yang menjadi ‘lambang terbaik’ daripada ajaran Rasulullah dan yang bersambung generasi serta risalah baginda. Sehingga istillah Tasawuf dikenal pada zaman Tabi’in. 

Imam Qusyairi berkata :” Ketahuilah Allah merahmati kalian, kaum muslim setelah Rasulullah yang memiliki sifat orang-orang utama, mereka tidak memiliki sifat penamaan melainkan dengan sifat Rasulullah,  kerana tiada kelebihan yang dapat mengalahkan. Mereka ialah Para Sahabat.” 

Buktinya, Hassan Al-Basri berkata : Saya melihat seorang sufi sedang bertawaf, kemudian saya memberikannya sesuatu, tetapi dia tidak mengambil. Kemudian berkata sufi tersebut, ” saya memiliki empat kuih tepung, empat kuih ini sudah mencukupi kehidupanku.” 

#2

– Perkataan Sufi dinisbahkan kepada sebuah golongan (suffah) Masjid Nabi SAW  yang berada di Masjid Nabawi. Antaranya 400 sahabat dan kaum fakir dari Muhajirin, mereka berkumpul di suatu tempat masjid Nabi kerana tidak mempunyai tempat tinggal. Tetapi mereka tidak meminta-minta dan mengemis. Terdapat terjemahan ayat Al-Quran yang menyebut tentang sifat mereka.

“(Pemberian sedekah itu) ialah bagi orang-orang fakir miskin yang telah menentukan dirinya (dengan menjalankan khidmat atau berjuang) pada jalan Allah (membela Islam), yang tidak berupaya mengembara di muka bumi (untuk berniaga dan sebagainya); mereka itu disangka: orang kaya – oleh orang yang tidak mengetahui halnya, kerana mereka menahan diri daripada meminta-minta. Engkau kenal mereka dengan (melihat) sifat-sifat dan keadaan masing-masing, mereka tidak meminta kepada orang ramai dengan mendesak-desak.” (Al-Baqarah, 273)

Antara para sahabat yang sering berkumpul di masjid tersebut ialah Abu Hurairah, Bilal, Abdul Rahman bin Auf, Ibn Umm Maktum, Abu Musa Al-Asyaari, Salman Al-Farisi, dan Abu Zhar Al-Ghifari. Kemudian nama sufi diambil dari istillah golongan ini yang disebuh ahli suffah.

Adakah perkataan sufi benar dinisbahkan kepada ahli suffah? 

Walaupun benar daripada segi makna, akan tetapi dari segi saraf bahasa Arab tidak menyokong bahawa perkataan sufi diambil dari perkataan suffah. 

#3

Pendapat ketiga perkataan sufi dinisbahkan kepada Saf atau barisan terawal yang menyeru kepada seruan berjuang di jalan Allah SWT ketika ada panggilan daripada Allah. 

Saf ini selalu berada di barisan terhadapan ketika menyahut seruan dakwah kepada Allah untuk mengembangkan Islam di seluruh dunia. Oleh itu penyandaran kalimah Sufi diambil dari kalimah Saf malah pendapat ini benar dari segi makna. Akan tetapi dari segi saraf bahasa Arab, perkataan Sufi bukanlah berasal dari perkataan Saf.

#4

Perkataan Sufi disandarkan kepada perkataan Sofa’ yang membawa maksud suci, bersih dan jernih dari segi rohani, nafsu dan kalbu. Perkataan Sofa’ juga benar daripada segi makna tetapi tidak dari segi saraf bahasa Arab.

#5

Pendapat terakhir kalimah Sufi dinisbahkan kepada kalimah ‘Suf’ yang membawa erti pakaian bulu, kain yang biasanya dipakai oleh orang yang biasa. Perkataan ini terkenal sebelum tahun 200H dan para ulama’ berkata Sufi itu julukan untuk mereka yang menyucikan diri, selalu berprasangka baik, berkata jujur dll.

Siapakah Ulama’ sufi yang berpendapat bahawa kalimah Sufi diambil daripada kalimah Suf?

-Al- Kalabazi

– Abu Nai’m Al-Asfahani

-Abu Hamid Al-Ghazali

-Umar As-Sahuradi

-At-Tusi 

Pendapat ini adalah pendapat yang paling tepat dari segi bahasa dan sesuai dengan maknanya yang secara zahir kerana definisi batinnya tidak diketahui melainkan Allah SWT. Pendapat ini yang paling cenderung diikuti oleh pengkaji-pengkaji ilmu Tasawuf. Majoriti ahli sufi yang mula-mula berkembang memakai pakaian dari kain Suf kerana harganya yang murah. Maka dinisbahkan kepada pakaian adalah rahsia untuk menutupi amalan mereka. 

Dinisbahkan pakaian Suf adalah kerana pakaian ini sering dipakai oleh para nabi, para kekasih Allah, para solihin, dan para ahli zuhud yang menyikitkan perkara-perkara berkaitan keduniaan. 

Terdapat hadis riwayat Bukhari, dari Mughirah bin Syu’bah ketika itu sedang menuangkan air wuduk Rasulullah SAW, ketika itu Rasulullah memakai pakaian Suf.

Imam Qusyairi berkata: ” Sesungguhnya perkataan Sufi ini menjadi isim alam ( kata nama untuk seseorang manusia) , kemudian perkataan Sufi ini disandarkan kepada mereka yang terkenal dengan orang yang baik-baik, dikenal juga sebagai Sufiyyah untuk ramai, jika mereka seorang disebut dengan Sufi.”

Kesimpulannya, dengan mengetahui asal-usul kalimah Sufi ini, maka kenallah kita dengan apa yang dimaksudkan dengan sufi dan apabila mendapat masalah berkaitan Tasawuf, rujukan terbaik ialah mendengar atau mengambil pendapat ahli-ahli sufi itu sendiri dan bukannya mengambil pendapat dari mulut yang bukan ahli.

Rujukan:

1- Al-Baqarah, 273

2- Awarif Al-Ma’arif, M/s 139 

3-Risalah Qusyairiah, 1/39

4- Takrif Mazhab Ahli Tasawwuf Al-Kalabazi, M/s 30

4. البخاري ك اللباس يلبس جبة الصوف في الغزو – والفتح ١٠/ ٢٨

taubat t

 

 

  

Advertisements